Skip to main
Logo Malaysiakini

PRU15: Muda akan pertahan Muar, tanding tak lebih 15 Parlimen

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, akan mempertahankan kerusi Parlimen Muar yang dipegangnya sejak 2018.

Perkara itu dinyatakan Pengerusi Pilihan Raya Muda, Amira Aisya Abd Aziz, selepas mempengerusikan pertemuan rasmi antara pimpinan Muda di Kuala Lumpur hari ini.

Amira Aisya baru dilantik ke jawatan tersebut.

Katanya juga, Muda akan mempertahankan Muar dalam PRU akan datang, selain menyasarkan tidak lebih 14 lagi kerusi parlimen termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Muda akan menyasarkan tak lebih daripada 15 kerusi parlimen daripada parti BN-Perikatan Nasional (PN).

“Kami juga melihat kerusi dari pelbagai negeri (termasuk di Sabah dan Sarawak),” katanya yang juga timbalan presiden Muda.

“Kami juga ada pasukan sangat kuat di Sabah, Sarawak dan akan meletakkan calon di Kepulauan Borneo,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, segala ketetapan tertakluk kepada keputusan bersama parti dalam PH.

Pada masa sama, Muda mengumumkan semua ahli Muda di setiap peringkat boleh mencadangkan nama calon masing-masing untuk dinilai jawatankuasa parti berdasarkan kriteria yang akan dimaklumkan tidak lama lagi.