Skip to main
Logo Malaysiakini

MP PKR buat laporan SPRM dakwaan kaitan menteri dalam projek LCS

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Johor Bahru dari PKR Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata laporan telah dibuat di SPRM hari ini bagi menggesa siasatan terhadap dakwaan penglibatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Latiff Ahmad dalam skandal projek kapal pesisir (LCS).

Akmal berkata, laporan itu dibuat bagi mengembalikan tumpuan terhadap skandal projek berjumlah RM9 bilion itu.

"Apa yang kita ingin siasatan SPRM tumpukan adalah jejak aliran wang kerana nampaknya agak jelas yang...wang mengalir keluar dari negara secara haram melalui syarikat-syarikat palsu ini," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Dia menegaskan Zainab Mohd Salleh, yang didakwa sebagai individu di belakang dua syarikat luar pesisir yang dikaitkan dengan projek LCS, perlu menjadi tumpuan utama siasatan.

Terdahulu, Timbalan Presiden PKR mendakwa Zainab adalah isteri kedua Abdul Latiff. Abdul Latiff telah menafikan dakwaan itu.

Menurut Akmal lagi, laporan SPRM hari ini bukanlah tindak balas selepas Rafizi dipanggil memberi keterangan kepada polis pada Sabtu lalu.

Dia menyifatkan Zainab sama seperti ahli perniagaan Low Taek Jho yang dikaitkan dalam skandal 1MDB.

"Kebimbangan kami adalah dia (Zainab) merupakan 'Jho Low' kepada Latiff memandangkan namanya ada di mana-mana (berkaitan projek LCS)," katanya lagi.

Nafi status perkahwinan

Dalam siri pendedahannya sebelum ini, Rafizi mendakwa Latiff dan keluarganya mendapat manfaat daripada projek LCS dan kontrak pertahanan lain ketika menjadi timbalan menteri pertahanan dalam kerajaan BN.

Rafizi juga bertegas bahawa Abdul Latiff memiliki seorang isteri bernama Zainab Mohd Salleh.

Latiff kemudian menafikan dakwaan itu dengan berkata dia tiada peranan dalam projek LCS, ahli keluarganya tidak mendapat sebarang kontrak pertahanan ketika dia dalam kementerian itu dan dia tiada "isteri mahupun bekas isteri" yang bernama Zainab Mohd Salleh.

Mengulas lanjut, Akmal berkata jika Latiff benar-benar ingin menjelaskan isu tersebut, tidak tidak sepatutnya "melindungi" Zainab.

"Dia patut dedahkan Zainab dan bukan sekadar berdolak-dalik kerana dia memang memindahkan saham kepada Zainab sebelum meninggalkan syarikat, jadi dia patut tahu kewujudan Zainab ini," dakwanya.

Dia berharap SPRM akan menunjukkan kepada umum pengisytiharan harta Abdul Latiff sebagai menteri.

"Kita perlu desak SPRM untuk dedahkan pengisytiharan harta (Abdul Latiff) dan dari situ kita boleh kesan pendapatan dan perbelanjaan serta jejak aliran wang.

"Ini kerana Akta SPRM lebih kuat dalam mengesan jejak aliran wang kerana ia pernah digunakan untuk SRC International, jadi saya rasa mereka (SPRM) boleh lakukannya sekali lagi," katanya lagi.

[Baca berita asal]