Skip to main
Logo Malaysiakini

Tiada keperluan syarat jadi calon pilihan raya diketatkan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kerajaan berpendapat, tiada sebarang keperluan untuk mengetatkan syarat pencalonan untuk menyertai pilihan raya di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar malah berkata, langkah merumitkan lagi syarat sedia ada hanya akan membawa demokrasi di negara ini ke belakang.

“Bagi memartabatkan demokrasi, tidak perlu menambah syarat-syarat baru bagi menghalang mana-mana individu daripada bertanding.

"Sebagai contoh untuk menggubal undang-undang bagi individu yang kesnya masih dibicarakan di mahkamah untuk tidak layak bertanding, ” katanya dalam kenyataan hari ini.

Penegasan kerajaan itu dibuat Wan Junaidi bagi menjawab cadangan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Ahmad Yahaya, semasa berucap di muktamar parti itu di Kedah minggu lalu.

Dalam ucapan utamanya di muktamar sayap PAS itu, Ahmad mencadangkan kerajaan mengetatkan lagi syarat untuk seseorang individu layak dipilih sebagai calon pilihan raya.

Malaysiakini melaporkan, ketuanya, Ahmad Yahya berkata cadangan tambahan itu wajar diketengahkan berdasarkan keadaan semasa.

Kata Ahmad, antara syarat baru yang diperlukan ialah menggugurkan kelayakan seseorang jika pernah mengeluarkan kenyataan yang boleh menggugat keharmonian negara, serta mempertikaikan hak-hak keistimewaan yang termaktub dalam perlembagaan.

Selain itu, individu yang sedang dibicarakan di mahkamah atas kes salah laku, penyelewengan dan rasuah juga tidak wajar diberi peluang untuk bertanding kerana dibimbangan mereka menggunakan kedudukan untuk mengelak daripada dikenakan tindakan.

Pencalonan pernah rumit

Wan Junaidi berkata syarat-syarat bagi pencalonan pilihan raya sedia ada mencukupi seperti termaktub dalam Perkara 48 (1) (e) Perlembagaan Persekutuan yang mengatakan, sekiranya individu terbabit didapati bersalah dan dihukum penjara tempoh tidak kurang dari satu tahun atau denda tidak kurang RM2,000, serta tidak mendapat pengampunan bebas, mereka akan hilang kelayakan.

Katanya perkara ini juga perlu dibaca bersama dengan perkara 48 (5) dalam perlembagaan iaitu berkaitan penamaan, pemilihan atau pelantikan mana-mana orang ke mana-mana satu majlis parlimen.

“Oleh itu, saya berpandangan tiada keperluan untuk tambah syarat lain bagi mengetatkan syarat pencalonan sedia ada.

"Sekiranya ditambah lagi, ianya akan kembali ke era 1990-an apabila proses pencalonan adalah rumit," katanya.

Wan Junaidi juga menjelaskan individu yang dipilih menjadi ahli parlimen, keahliannya tidak akan tergugur melainkan syarat seperti ditentukan di bawah Perkara 48 (4) Perlembagaan Persekutuan dipenuhi.

"Mengikut perkara 48 (4) (c) apabila proses yang terakhir iaitu pengampunan gagal, maka barulah keahlian ahli parlimen tersebut tergugur dengan sendirinya," kata Wan Junaidi.