Skip to main
Logo Malaysiakini

Najib tak pernah pertikai butiran perbelanjaan kad kredit - saksi

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Jumlah had kredit RM3 juta yang diberikan AmBank kepada bekas perdana menteri Najib Razak adalah antara yang tertinggi diberikan kepada pelanggannya, kata Yeoh Eng Leong.

Bekas naib presiden AmBank itu juga memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Najib tidak pernah mengadu berkaitan transaksi bank. 

Ini, katanya, termasuk caj RM98,000 untuk penginapan di sebuah hotel di Rom pada 2011.

Saksi pendakwaan ke-35 itu memberikan keterangan lisan hari ini dalam kes rasuah RM2.28 billion melibatkan dana 1MDB terhadap Najib yang juga bekas menteri kewangan.

Yeoh Eng Leong

Semasa pemeriksaan utama oleh timbalan pendakwa raya Deepa Nair Thevaharan, Yeoh memberikan keterangan berkaitan penyata kewangan akaun Visa Platinum yang berakhir dengan angka 5496 dan Mastercard Platinum yang berakhir dengan 8961.

Merujuk kepada penyata kad kredit Mastercard bertarikh 8 Ogos 2011, saksi berkata sebanyak  RM98,013.63 (Italian Euro 22,461.62) dibelanjakan di The Westin Excelsior R Roma.

Yeoh juga memberikan keterangan berkaitan perbelanjaan kad Visa sebanyak RM4,145 di Aigner-KLCC dan RM910 dan RM880 di Hugo Boss-KLCC. 

Semua transaksi bertarikh 21 Ogos, antara lain.

Gambar hiasan

Ketika Deepa bertanya berkaitan perbelanjaan keseluruhan kad-kad Najib pada Oktober 2011, saksi berkata ia berjumlah RM103,948.63.

Deepa: Apa purata had perbelanjaan diberikan kepada pelanggan?

Yeoh: Berdasarkan pengalaman saya, RM50,000 untuk setiap kad.

Deepa: Apa had kredit diberikan kepada Najib?

Yeoh: RM3 juta untuk kedua-dua kad.

Deepa: Adakah ini antara had tertinggi diberikan kepada pelanggan?

Yeoh: Ini antara yang had tertinggi diberikan oleh bank.

Dia juga berkata kedua-dua kad kredit itu dibatalkan pada 11 Mac 2015, tanpa sebarang bayaran tertangguh.

Saksi itu kini berkhidmat di bahagian pengurusan penipuan di ibu pejabat Hong Leong Bank di Kuala Lumpur.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela Wan Aizuddin Wan Mohammed, Yeoh berkata AmBank memberikan had kredit RM3 juta itu berdasarkan pertimbangan terhadap dokumen pendapatan.

Dalam perbicaraan kes berbeza pada 2018 (kes rasuah SRC International), Yeoh berkata Najib tidak pernah membuat aduan berkaitan perbelanjaan RM3.2 juta menggunakan dua kad kredit antara Ogos 2014 hingga Jan 2015. 

Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun mulai 23 Ogos selepas gagal dalam rayuan akhir terhadap sabitan dan hukuman dalam kes RM42 juta dana SRC.

Prosiding bersambung hari ini dan esok di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah.

Jho Low

Najib berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB, syarikat pelaburan negara.

Pihak pendakwaan berkata salah laku dilakukan oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dan beberapa pihak dengan restu Najib.

Pasukan pembelaan bagaimanapun berkata Najib tidak tahu menahu berkaitan kegiatan yang didalangi oleh Jho Low dan beberapa anggota pengurusan dana itu.

[Baca berita asal]