Ketua pengarah MKN syor tutup pejabat UNHCR
Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Rodzi Md Saad dilaporkan mencadangkan untuk menutup pejabat Suruhanjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR) di Malaysia.
Menurut laporan Harian Metro hari ini, dia berkata Malaysia akan menguruskan situasi pelarian dengan lebih baik dengan menghapuskan campur tangan asing dan agensinya sedang mengkaji mekanisme yang sesuai untuk melaksanakannya sebelum mengesyorkannya kepada kerajaan.
"Jadi, masanya (pelaksanaan) masih subjektif, bergantung kepada persiapan dan kejayaan pelaksanaan mekanisme yang kita uruskan sendiri.
"Pelan kerangka sudah ada supaya kita sendiri menguruskan pendatang asing tanpa izin (Pati) dan juga pelarian di negara kita, tanpa campur tangan asing," katanya seperti dilaporkan.
Dia dipetik berkata demikian pada sidang media pada Program Literasi Dasar Keselamatan Negara 2021-2022 di Shah Alam hari ini.
Untuk rekod, Malaysia bukan parti Konvensyen PBB 1951 Berkaitan Status Pelarian. Undang-undang Malaysia juga tidak membezakan antara pendatang ekonomi tanpa izin dan pencari suaka.
Sementara itu, Rodzi dilaporkan berkata penutupan pejabat UNHCR di Malaysia tidak akan berlaku dalam masa terdekat.
Ini kerana fungsi agensi berkaitan masih perlu dipertingkatkan.
"Kita hendak kukuhkan arahan MKN nombor 23 dahulu. Apabila kita dapati semua boleh dilaksanakan dengan baik dalam Arahan 23 ini, barulah kita akan susuli dengan langkah penutupan.
"Selagi kita lihat, kita tidak dapat membentuk satu pengurusan yang baik, kita tidak akan melaksanakannya," katanya merujuk kepada arahan pada 2009 mengenai cara menangani "pendatang tanpa izin" yang memegang kad UNHCR.
Rodzi dipetik berkata pendatang tanpa izin tertarik ke Malaysia kerana kemudahan yang ada di sini, dan mereka boleh mendapatkan perlindungan UNHCR, yang telah mengeluarkan kad tersebut tanpa merujuk kepada mana-mana pihak berkuasa termasuk polis dan Jabatan Imigresen.
"Keputusan ini tidak adil untuk kita (rakyat Malaysia). Apabila UNHCR tidak merujuk pihak berkuasa kita terlebih dahulu, tindakan seolah-olah mereka tidak menghormati negara kita," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai