Skip to main
Logo Malaysiakini

Banjir kilat landa dua kawasan di Baling

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Dua kawasan di Baling dilanda banjir kilat susulan hujan lebat yang berterusan sejak pukul 5 petang tadi kata Ketua Polis Daerah Baling Supt Shamsudin Mamat.

Beliau berkata kawasan terbabit adalah Taman Bayu Sejahtera dan kawasan jajaran Kampung Iboi sehingga ke Kampung Hangus.

“Air di kawasan Taman Bayu Sejahtera telah surut pada pukul 8 malam tadi namun di kawasan Kampung Iboi dan sekitarnya, sehingga pukul 9 malam, air masih mengalir deras dan dikhuatiri akan melanda beberapa kawasan di pekan Kupang.

“Tiada laporan diterima mengenai kehilangan ahli keluarga dan hujan juga telah berhenti kira-kira pukul 6 petang tadi, bagaimanapun jambatan Bailey telah dinaiki air dan berlaku kerosakan struktur pada jambatan itu yang kini ditutup untuk semua kenderaan dan pejalan kaki,” katanya dalam kenyataan di Baling hari ini.

Shamsudin berkata, setakat ini sebanyak 120 mangsa di Kampung Padang Empang telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Kampung Padang Empang.

“Penduduk di dua buah kampung iaitu Kampung Bendang Bechah dan Kampung Hangus turut dinasihatkan untuk berpindah selepas kawasan tersebut dinaiki air.

"Kita telah menempatkan anggota di lokasi kejadian, bersama-sama agensi lain di bawah Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) untuk membuat pemantauan,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Kampung Iboi Abu Hassan Samah berkata hujan lebat sejak 5 petang tadi yang berterusan kira-kira dua jam menyebabkan paras air Sungai Kupang naik.

“Banjir kilat kali ini seakan-akan sama seperti kejadian yang pertama kali berlaku di sini, cuma kesannya tidak sebesar itu.

"Ada penduduk yang sudah berpindah dan sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di Dewan Kampung Padang Empang,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata setakat 9 malam, hujan di kampung itu sudah berhenti.

- Bernama