Skip to main
Logo Malaysiakini

'Saya sedia sepentas dengan PAS, kekal bantu dari belakang'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Khairuddin Aman Razali berkata dia kekal membantu PAS di belakang tabir dan malah menyatakan kesediaannya untuk berkongsi pentas, walau tidak bersama parti itu pada masa ini.

Bekas ahli jawatankuasa pusat PAS itu berkata, dia sentiasa bersedia walaupun dilihat mesra dengan Umno atas prinsip penyatuan ummah, manakala PAS pula bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).

"Saya dilihat sepentas dengan Umno dalam banyak program dan saya bersedia sepentas dengan PAS dalam apa sahaja program, cuma barangkali sentimen saya 'berhenti' PAS menjadi hambatan sementara.

"Saya kekal membantu PAS dari belakang untuk berprogram di seluruh negara yang memerlukan kewangan meskipun nama saya tidak pernah disebut dan saya pun tidak minta disebut kerana ia menjadi amalan saya sejak sekian lama.

"Ahli-ahli PAS dan petugas di muktamar di Kedah (hujung minggu lalu) ada yang mendapat sumbangan daripada saya sebagaimana amalan sebelumnya ketika saya dalam PAS," katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Pada 14 Mac lalu, Khairuddin yang juga anggota parlimen Kuala Nerus mengumumkan permohonan berhenti daripada menjadi ahli PAS.

Dia membuat pengumuman itu kira-kira sebulan selepas digugurkan daripada jawatan setiausaha Majlis Syura PAS.

Khairuddin berkata lagi, dia sentiasa bersama program kerajaan Terengganu yang dipegang PAS memandangkan dia bukan "pembangkang" kepada kerajaan negeri, serta menyertai program PAS di Kuala Nerus.

Pada masa sama, dia berkata akan terus memperjuangkan "cita-cita menyatukan umat Islam" khususnya antara PAS dan Umno, sepertimana keputusan Majlis Syura Ulama pada 2015 serta perjanjian Muafakat Nasional (MN) yang ditandatangani "dengan linangan air mata" ahli dua parti itu.

"Dan juga sebagaimana semangat keputusan muzakarah Majlis Syura Ulamak pada 30 Dis 2021, 13 hari sebelum saya digugurkan sebagai ahli jawatankuasa pusat PAS yang baru dilantik dan seterusnya meletakkan jawatan sebagai setiausaha dan ahli Majlis Syura Ulama sebulan selepas itu bagi menjaga keharmonian perlembagaan PAS," katanya lagi.