Skip to main
Logo Malaysiakini

DAP - Bolehkah Najib mohon semakan lepas hantar petisyen pengampunan?

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Veteran DAP Lim Kit Siang mempersoalkan tindakan Najib Razak, yang memohon semakan kehakiman untuk panel baru Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan bersalahnya dalam kes rasuah SRC International bernilai RM42 juta.

Ini susulan tindakan bekas perdana menteri itu yang sebelum ini menghantar petisyen pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Adakah petisyen pengampunan Najib akan memberikan kesan kepada tindakannya untuk mendapatkan semakan kehakiman dari satu panel hakim baru Mahkamah Persekutuan mengenai penolakan rayuannya oleh Mahkamah Persekutuan dan/atau adakah permohonan semakan kehakiman ini akan memberikan kesan terhadap petisyen pengampunannya?

“Dengan dua tindakan Najib ini, persoalan undang-undang ini perlu diselesaikan oleh pihak berkuasa yang berkenaan,” kata Lim dalam satu kenyataan media, hari ini.

Najib memfailkan permohonan pengampunan diraja pada 2 September lalu.

Sementara, peguam bekas perdana menteri itu dari firma Shafee & Co memfailkan permohonan semakan semalam.

Pada 23 Ogos lalu, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan bekas menteri kewangan itu untuk membatalkan sabitan terhadap tujuh pertuduhan jenayah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta sebagai ganti lima tahun tambahan dalam penjara.

Panel Mahkamah Persekutuan yang lain ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim dan hakim kanan P Nallini, Mary Lim Thiam Suan, dan Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Najib sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang.