Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Najib keluar cek RM8.4 juta bayar individu, Umno bahagian, syarikat'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pengurus kanan unit pemprosesan cek AmBank memberi keterangan bahawa Najib Razak mengeluarkan dua cek berjumlah RM2 juta kepada Umno Selangor antara November 2011 dan Mac 2012.

Badrul Hisham Mohamad memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa ini adalah antara 38 keping cek bernilai RM8,405,850 yang dikeluarkan daripada akaun bekas perdana menteri itu berakhir dengan nombor 694 sepanjang tempoh yang sama.

Saksi pendakwaan ke-35 itu memberi keterangan lisan semasa perbicaraan rasuah 1MDB RM2.28 bilion membabitkan Najib selaku menteri kewangan ketika itu.

Antara penerima cek-cek itu termasuk Wanita Umno Selangor (RM1.9 juta), Umno Machang (RM400,000), Umno Pekan (RM330,000), bekas menteri tanah dan pembangunan koperasi Kasitah Gaddam (RM100,000), bekas menteri sumber manusia Richard Riot (RM100,000), dan Wanita Umno Pekan (RM70,000).

Akaun yang berakhir dengan nombor 694 itu - dibuka pada 2011 dan ditutup pada 2013 - yang sebelum ini didakwa Najib menerima sumbangan derma jutaan dolar AS daripada keluarga diraja Arab.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan bahawa Datuk Seri Najib Razak telah mengeluarkan 38 cek berjumlah RM8.4 juta daripada akaun peribadinya yang dibayar kepada 18 individu, enam entiti politik dan enam syarikat antara 2011 dan 2012.

Pengurus Kanan Bahagian Pusat Pemprosesan Cek AmBank (M) Berhad Badrul Hisam Mohamad, 48, berkata antara penerima individu cek tersebut ialah bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Tan Sri Kasitah Gaddam dan bekas Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem, masing-masing berjumlah RM100,000.

Saksi pendakwaan ke-36 itu mengesahkan cek-cek tersebut diberikan kepada enam syarikat keseluruhannya berjumlah RM1,428,250; lima Umno cawangan dan bahagian (RM4,670,000); Barisan Nasional cawangan Tun Razak (RM200,000) dan 18 individu berjumlah RM2,107,600 daripada akaun AmBank peribadi Najib yang berakhir dengan nombor 694.

“Datuk Seri Najib mengeluarkan cek yang dibayar kepada Umno Bahagian Pekan berjumlah RM200,000, Pergerakan Wanita Umno Bahagian Pekan (RM170,000), Wanita Umno Selangor (RM1.9 juta), Umno Selangor (RM2 juta), Umno Bahagian Machang (RM400,000) dan Barisan Nasional Bahagian Bandar Tun Razak (RM200,000).

“Antara syarikat yang menerima cek daripada Datuk Seri Najib pula ialah Qalif Umar Creative (RM130,000), Semarak Konsortium Satu Sdn Bhd (RM274,750), Gading Emas Management Services (RM50,000), Fanisa Consultancy And Services (RM95,000) dan Two One Holidays Malaysia Sdn Bhd (RM178,000), yang keseluruhannya berjumlah RM1.4 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Deepa Nair Thevaharan pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi bekas perdana menteri itu.

Merujuk kepada salinan imejan cek AmIslamik Bank Berhad Cawangan Jalan Raja Chulan bagi akaun Najib yang berakhir dengan nombor 694, Badrul Hisam berkata beliau dapat mengecam tandatangan Najib kerana semasa proses pengesahan cek dibuat, tandatangan tertuduh tertera di dalam sistem pangkalan data tandatangan untuk tujuan perbandingan dan pengesahan.

Sementara itu, semasa pemeriksaan balas oleh peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed, saksi itu berkata bagi setiap cek melebihi RM20,000 yang dikeluarkan, AmBank akan menghubungi pelanggan untuk mengesahkan transaksi tersebut.

“Pihak kami di bahagian pemprosesan cek tidak membuat panggilan tersebut secara peribadi tetapi pegawai di cawangan AmBank akan menentukan sama ada mereka akan menghubungi pelanggan secara terus atau melalui Pengurus Perhubungan yang mengendalikan akaun pelanggan,” katanya.

Najib berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.