Nak tutup pejabat UNHCR? Bincang di Parlimen dulu, kata MP
Cadangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menutup operasi pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Malaysia perlu dibincangkan di Parlimen dahulu sebelum dilaksanakan, kata seorang pemimpin DAP.
Dalam satu kenyataan, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai mengingatkan Ketua Pengarah MKN, Rodzi Md Saad bahawa Malaysia masih menjadi ahli Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi penggal 2022-2024.
Oleh itu, Malaysia mempunyai kewajipan moral untuk mengutamakan isu hak asasi manusia dalam negara dan juga serantau,” katanya.
“Saya meminta menteri luar negari untuk memberikan satu kenyataan menteri di Parlimen yang akan mula bersidang pada 3 Oktober 2022 berkenaan cadangan MKN ini memandangkan cadangan penutupan unilateral satu agensi Bangsa-bangsa Bersatu seperti UNHCR akan mempunyai implikasi besar kepada usaha diplomatik antarabangsa Malaysia dan menjejaskan nama baik Malaysia di mata dunia.
“Parlimen harus dijadikan tempat untuk membahaskan dasar berkenaan pelarian serta mekanisme masa ini untuk pelarian dari segi kemanusiaan dan keselamatan negara supaya satu titik imbang boleh dicapai,” katanya.
Semalam, Rodzi dilaporkan berkata kerajaan perlu mempertimbangkan cadangan untuk menutup pejabat UNHCR di Malaysia.
Katanya, Malaysia akan menguruskan situasi pelarian dengan lebih baik dengan menghapuskan campur tangan asing dan agensinya sedang mengkaji mekanisme yang sesuai untuk melaksanakannya sebelum mengesyorkannya kepada kerajaan.
Bagaimanapun, Rodzi menjelaskan ini tidak akan berlaku dalam masa terdekat kerana fungsi agensi berkaitan masih perlu dipertingkatkan.
Sehubungan itu, Wong berkata kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya menutup agensi PBB berkenaan tanpa sebarang rundingan, lebih-lebih lagi ketika jumlah pelarian di negara ini masih tinggi.
Menurut laporan, terdapat lebih 184,000 pelarian dan pencari suaka berdaftar PBB di negara itu.
“Sekiranya angka pelarian sudah kurang ke tahap minimum, mungkin itu satu justifikasi untuk UNHCR beroperasi dari ibu pejabat serantau dari Bangkok.
“Walau bagaimanapun, UNHCR mempunyai pejabat di 134 negara di seluruh dunia dan di sesetengah negara yang tidak mempunyai isu pelarian yang serius, kehadiran pejabat UNHCR diperlukan sebagai satu agensi antarabangsa yang menjurus kepada bantuan kemanusiaan dan koordinasi serantau,” kata Wong.
Untuk rekod, Malaysia bukan pihak dalam Konvensyen PBB 1951 Berkaitan Status Pelarian.
Undang-undang tempatan juga tidak membezakan antara pendatang ekonomi tanpa izin dan pencari suaka.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai