Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Kos PRU sebesar denda Rosmah, lebih baik bantu mangsa banjir’

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pilihan raya umum (PRU) lebih sesuai dijalankan tahun depan dan kos bagi menguruskannya patut digunakan bagi membantu mangsa banjir, kata PKR.

“Sekiranya (PRU) diteruskan, (kosnya) RM1 bilion.

“Itu hampir sama dengan jumlah yang perlu dibayar oleh Rosmah (Mansor), jumlah yang sangat besar.

“Sepatutnya wang itu kita sediakan sebagai dana membantu rakyat hadapi musim banjir,” kata ketua penerangannya  Fahmi Fadzil.

Rosmah Mansor

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1 September lalu menjatuhi hukuman 10 tahun penjara terhadap Rosmah dan denda RM970 juta.

Isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu disabitkan bersalah atas tiga tuduhan rasuah membabitkan projek tenaga solar untuk sekolah-sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Denda itu hanya kurang RM30 juta daripada anggaran kos PRU ke-15 yang dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh pada 20 Ogos lalu berkata kos PRU dijangka mencecah hingga RM1 bilion, berbanding jutaan ratus ringgit sebelum ini.

Peningkatan kos itu susulan pertambahan jumlah pengundi yang besar melalui pelaksanaan dasar undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik yang berkuat kuasa sejak Disember tahun lalu.

Banjir kian kerap

Sementara itu, Fahmi berkata dia sendiri risau dengan kejadian banjir kilat yang semakin kerap berlaku.

Malah, katanya, fenomena la nina ataupun hujan lebat dijangka akan berterusan hingga ke hujung tahun. 

“Pada ketika banjir kilat mungkin boleh berlaku bila-bila masa, adakah wajar wang itu digunakan untuk tujuan PRU ataupun selesaikan masalah rakyat,” katanya.

Fahmi juga mengingatkan tragedi terbaru yang sekali lagi melanda Baling semalam.

“Kalau fenomena la nina berterusan ke hujung tahun, saya sikit risau tentang kewajaran guna bajet RM1 bilion pada ketika rakyat betul-betul hadapi masalah,” katanya.

Semalam, air Sungai Kupang di Baling mengalir deras dan melimpah selepas hujan lebat, mengakibatkan beberapa rumah berhampiran sungai dinaiki air.

Air sungai juga dilaporkan melepasi Jambatan Bailey di Kampung Iboi dan struktur jambatan tersebut dikatakan berganjak sedikit dari kedudukan asal.

Kawasan itu sudah tiga kali dilanda banjir selepas tragedi 4 dan 28 Julai lalu yang turut memakan korban nyawa.

Fahmi juga berkata Oktober adalah bulan untuk berjaga-jaga bagi menangani masalah banjir yang mungkin melanda.

Justeru, katanya kepada Malaysiakini, tahun depan lebih sesuai untuk pilihan raya diadakan.

“Kita ada banyak masa sebenarnya.

“Parlimen akan bubar secara automatik pada 15 Julai 2023. Saya lihat masa itu (masih) ada (untuk buat PRU),” katanya.