Skip to main
Logo Malaysiakini

'Dahlah nak halau dari Rembau, sekarang nak halau dari KKM' - gurau KJ

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dilaporkan berseloroh ketika diminta mengulas sama ada Kertas Putih KKM akan diteruskan atau tidak, jika dia tidak lagi menjawat jawatan sama selepas PRU15.

"Cepatnya nak halau saya. Sudahlah nak halau dari Rembau, sekarang nak halau dari KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) pula," katanya bergurau kepada pemberita ketika sidang media selepas merasmikan Persidangan IGBA-MOPI hari ini di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Khairy ketika menjawab soalan pemberita memberitahu Kertas Putih KKM itu perlu diteruskan mengikut perancangan sedia ada.

Kertas Putih Kesihatan sebelum ini dijangka dibentangkan di parlimen pada November tahun ini.

Kertas putih itu bertujuan mengukuhkan sistem kesihatan negara secara menyeluruh agar perkhidmatan kesihatan lebih saksama, berkualiti tinggi, mudah diakses dengan kos berpatutan dan mampan untuk jangka masa panjang.

"Kakitangan awam di KKM dilengkapi dengan pengalaman dan berupaya untuk bekerja ketika pertukaran kerajaan, tapi untuk tandatangan pada projek seperti Kertas Putih, kita perlu mendapatkan bantuan Majlis Penasihat.

"Pengurusan kanan di KKM juga akan memberi penerangan kepada menteri baharu untuk meneruskan semua perancangan sedia ada," katanya seperti dipetik Harian metro.

Khairy sebelum ini menyatakan kesediaan untuk melepaskan kerusi Parlimen Rembau kepada Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan.

Khairy pada 4 Sept berkata dia telah diminta untuk memberikan laluan kepada timbalan presiden Umno yang berhasrat untuk bertanding di kerusi berkenaan.

“Oleh kerana beliau (Mohamad) adalah ketua Umno bahagian Rembau dan saya timbalan kepada beliau. Jadi beliau telah minta saya cari tempat lain la sebab dia kata dia nak bertanding di Rembau.

“Saya tidak ada halangan,” jelasnya.