Skip to main
Logo Malaysiakini

PULASAN | Seminggu sesudah Hari Kebangsaan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PULASAN | Sudah lebih sedikit dari seminggu seluruh negara bercuti dalam syukur yang banyak.

Sehingga hari ini masih ada orang yang berkongsi rasa kagum serta bangga melihat satu demi satu pasukan keselamatan berbaris megah melintasi jalan-jalan yang selalunya disesakkan oleh kenderaan di tengah Kuala Lumpur.

Dengan adanya kemudahan teknologi canggih dan media sosial, susuk-susuk lengkap berpakaian seragam dengan penuh disiplin melangkah mantap sederap seirama.

Di sana ada Angkatan Tentera Malaysia dari pelbagai pasukan. Juga pasukan Polis Diraja Malaysia, serta pasukan keselamatan yang lain. Mereka adalah pejuang dan perwira di hati kita semua.

Mereka adalah batang tubuh yang sudah berikrar untuk menggadaikan nyawa masing-masing demi negara. Juga demi kesejahteraan kita semua.

Sepatutnya hanya orang yang tidak waras yang akan gagal untuk menghargai serta menghormati pengorbanan mereka itu. Anggota keselamatan itu adalah perisai pertama untuk negara - dan rakyat (maksudnya, kitalah) - jika ada sebarang anasir jahat yang cuba menceroboh.

Justeru ketangkasan, dapat difahami mengapa kesegakan dan kecekapan yang dipamerkan semasa perbarisan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos lalu begitu cepat menangkap ke hati orang ramai.

Kita pun berasa sangat bertuah kerana memiliki pelbagai pasukan keselamatan yang setangkas serta sesedia itu untuk melindungi negara - sehinggalah kita pun hampir terlupa bagaimana di sana ada pengkhianatan sedang berlaku.

Masih dibelenggu masalah

Tentera, polis dan semua pasukan keselamatan itu sudah tentu tidak mampu membela nusa ini dengan batang tubuh yang diperkuat oleh tulang-temulang, daging, urat dan kulit semata-mata.

Ini bukan zaman Tun Jana Khatib atau Hang Nadim. Ini zaman serba pantas, canggih dan rumit.

Dalam keadaan begitulah kita terpaksa menelan kepahitan apabila ada antara kelengkapan untuk tentera kita masih gagal disiapkan walaupun wang berbilion-bilion sudah dikeluarkan.

Entah apa agaknya istilah yang layak untuk menggambarkan pengkhianatan besar kepada negara itu. Kapal tempur pesisir (LCS) yang dipesan sebanyak enam unit dan ia dirancang pada 2011.

Sepatutnya sebahagian daripada kapal itu diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) beberapa tahun lalu. Malangnya sehingga kini, tidak ada satu pun yang disiapkan!

Kalau-kalau ada yang terlupa, sekarang ini Sept 2022, bukannya 2002.

Mujurlah tidak ada sebarang ancaman ketara dan meruncing berlaku di sepanjang tempoh berkenaan. Dan didoakan tidak akan ada juga ancaman ke atas negara ini sampai bila-bila.

Namun itu bukanlah alasan untuk sesiapa berlapang dada dengan kegagalan projek LCS berkenaan kerana pada masa sama kita masih terus dibelenggu masalah pencerobohan warga asing, kapal asing, dan entah apa 'benda asing' yang lain.

Itu adalah antara alasan mengapa kita tidak boleh lagi berharap kepada ahli politik untuk memaju dan memelihara negara ini. Mereka itu kebanyakannya hanya pandai bercakap, menyakitkan hati, menayangkan kekayaan diri, dan pelbagai kecelakaan lain yang tidak layak untuk disebutkan pun.

Sebagai rakyat, bagaimana sepatutnya kita menghargai pengorbanan anggota keselamatan negara? Sudah tentu ada banyak yang boleh dilakukan, dan satu daripadanya ialah memberikan kemudahan terbaik untuk mereka menjalankan tugas mengawal kedaulatan watan ini.

Tanpa kemahiran bertempur, kita masih boleh menyumbang, iaitu dengan memberikan wang - melalui pelbagai cukai yang dikutip kerajaan - dan merelakan ia dibelanjakan demi kepentingan bersama.

Malang datang bertimpa-timpa

Di sana ada ruang untuk pasukan keselamatan mendapat kelengkapan terbaik.

Tapi itulah, sebelum ini kita menyangka lelucon hilangnya enjin jet pejuang tentera udara adalah petanda pihak yang berkenaan belajar untuk lebih cermat. Tidak ada lagi kecuaian berlaku.

Namun seperti selalu, kalau kita berharap maka kita akan kecewa.

Kegagalan menyediakan kelengkapan terbaik buat pasukan keselamatan bukan saja merupakan sikap cemerkap tapi suatu tindakan sabotaj yang sepatutnya tidak boleh dimaafkan.

Bagaimana kita boleh bertolak ansur kepada pihak yang mendedahkan bahaya kepada anggota tentera?

Justeru rasa bangga, seronok dan kagum kepada kehebatan yang terpapar semasa perbarisan tempoh hari jangan sekali-kali melalaikan kita kepada pengkhianatan yang berlaku.

Benar, penjajah sudah meninggalkan negara ini secara rasmi puluhan tahun silam. Terlalu banyak kekayaan negara dijarah sepanjang ratusan tahun mereka bertapak di tanah ini. Sekarang penjajah yang menjarah itu sudah tiada.

Namun malang bertimpa apabila penjarahan itu dilakukan oleh anak watan sendiri.

Setakat ini persoalan memang banyak tetapi yang terjawab hanya secebis. Misalnya kecurigaan bagaimana ada pihak yang mungkin mengaut laba di atas projek ketenteraan itu.

Tapi - sekali lagi - itulah. Tidak banyak lagi yang boleh diharapkan pada negara ini sekarang. Ia terus hanyut dan hanyut ke dalam gaung amat gelap. Orang politik pula asyik bercakap seolah-olah merekalah yang paling pandai.

Itu bukanlah malang terbesar kita. Malang yang lebih besar ialah, mereka menyangka kita - rakyat di bawah ini - semuanya bodoh belaka. Semuanya tunggul seperti para penyokong mereka.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang semakin yakin bahawa amalan pecah amanah dan khianat sudah menjadi sebahagian daripada budaya kita.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.