Skip to main
Logo Malaysiakini

Dr M terus serang Umno kerana gagal wujudkan alternatif lain - Khaled

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad secara berterusan menyerang Umno untuk menutup kegagalannya mewujudkan pengganti kepada parti yang pernah diterajuinya itu, kata seorang pemimpin Umno hari ini.

Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin memetik Bersatu dan Pejuang sebagai contoh.

"Kenyataan terbaru Mahathir tentang Umno menunjukkan bahawa beliau terus dihantui Umno pada setiap saat dan ketika.

"Jelas bahawa Mahathir sebenarnya tidak pernah ‘move on’ daripada Umno.

"Tindakan melabelkan Umno dengan pelbagai gelaran dan penghinaan sebenarnya dilakukan dengan satu motif yang jelas. Iaitu menutup kegagalan ketara beliau dalam mewujudkan alternatif kepada Umno," katanya dalam kenyataan di Facebook.

Tambah Khaled, selepas dibelakangkan oleh Bersatu, Mahathir menubuhkan Pejuang, yang juga gagal memberi kesan dengan tidak memenangi satu pun kerusi dalam pilihan raya negeri Johor.

"Menyedari Pejuang tidak mempunyai masa depan sendiri dan ditolak secara besar-besaran, maka Mahathir gagaskan pula Gerakan Tanah Air (GTA).

"Mahathir bergerak ke segenap tanah air mengutip mereka yang sebelum ini tidak pun beliau pandang dengan sebelah mata.

"Barangkali, setelah menyedari bahawa strategi tersebut juga belum menampakkan sebarang petunjuk yang memberangsangkan, maka Mahathir kembali kepada strategi asalnya – iaitu menghentam dan menghina Umno," katanya.

Khaled juga mendakwa Umno adalah parti yang menjadikan Mahathir perdana menteri paling berjaya dan lama serta memuliakannya setelah persaraannya.

"Umno tidak pernah menikam beliau dari belakang. Tidak pernah.

"Sekeji mana pun Umno pada kaca mata Mahathir, Umno sebenarnya tidak pernah melakukan apa yang Bersatu lakukan pada beliau," kata Khaled.

Khaled turut mencadangkan bahawa mungkin sudah tiba masanya Mahathir menyedari bahawa realiti politik negara telah berubah berbanding zamannya.

"Pemimpin Umno bukan maksum. Kami banyak kelemahan. Saya sedar dan akuinya. Kami tidak akan menafikan hakikat atau bersikap apologetik. Ada yang sohor, ada yang khilaf. Namun masa beredar, zaman berubah dan pemimpin juga begitu.

"Tetapi Umno tetap lestari kerana orang Melayu menghargai bahawa adalah tidak adil disebabkan beberapa orang pemimpin parti terpalit kontroversi, maka segala-galanya tentang Umno itu korup dan keji," katanya.

Selasa lalu, Mahathir menegaskan bahawa pemenjaraan bekas perdana menteri Najib Abdul Razak tidak akan membersihkan Umno daripada imejnya yang tercemar, kerana rasuah dalam parti itu telah merebak ke peringkat akar umbi.

Najib pada 23 Ogos dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kerana salah guna kuasa, pecah amanah jenayah, dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan RM42 juta dana SRC International.

Najib telah memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja dan statusnya sebagai ahli parlimen Pekan bergantung kepada keputusan petisyen itu.