Perintah Raja-raja Melayu macam dipermainkan, kata Kadir
Tokoh Wartawan Negara, A Kadir Jasin beranggapan bahawa perintah Raja-raja Melayu yang mahu tindakan tegas yang sewajarnya terhadap pihak-pihak terlibat dalam kes rasuah yang membabitkan dana RM42 juta SRC International semacam dipermainkan.
“Kalau kita ingat lagi, pada 6 Oktober 2015, Raja-raja Melayu telah keluarkan satu kenyataan media mahukan kerajaan selesaikan secepat mungkin siasatan berkaitan 1MDB dan ambil tindakan tegas yang sewajarnya terhadap pihak-pihak terlibat.
“Tapi sekarang, setelah didapati bersalah dan dimasukkan ke dalam penjara, Najib minta pula Yang di-Pertuan Agong ampunkan dia,” kata Kadir dalam satu hantaran di Facebook.
Menurut wartawan veteran itu, perintah paling tinggi iaitu oleh Raja-raja Melayu, termasuk oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu juga menegaskan semua pihak perlu bertanggungjawab memberi kerjasama yang sebenar dan jujur.
Pada 23 Ogos lalu, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan bekas menteri kewangan itu untuk membatalkan sabitan terhadap tujuh pertuduhan jenayah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta sebagai ganti lima tahun tambahan dalam penjara.
Najib sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang.
Bagiamanapun, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada 27 Ogos lalu menggesa supaya pengampunan diraja diberikan kepada untuk bekas perdana menteri itu.
Sehari kemudian, Umno Perak akan memulakan kutipan tandatangan petisyen untuk dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong.
Najib memfailkan permohonan pengampunan diraja pada 2 September lalu.
Sementara, peguamnya dari firma Shafee & Co memfailkan permohonan semakan pada 6 September.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai