Skip to main
Logo Malaysiakini

Muhyiddin: Tiada kemajuan dicapai dalam rundingan PAS, Umno

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Tiada rundingan rasmi antara PAS-Umno bagi menghadapi PRU15, kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata perkara itu berdasarkan penjelasan PAS pada Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang dipengerusikannya malam semalam.

"Perbincangan adalah secara tidak rasmi dan tidak melibatkan pucuk pimpinan parti. Tiada apa-apa kemajuan dicapai daripada perbincangan ini setelah Umno membuat pendirian untuk tidak bekerjasama dengan PAS dalam PRU15,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhyiddin yang juga presiden Bersatu berkata PAS mengulangi pendirian untuk memperkukuh kerjasama dengan parti anggota dalam PN.

Sementara itu Muhyiddin berkata mesyuarat sama membuat ketetapan memberi tumpuan usaha membela rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dalam menghadapi kesan inflasi dan keadaan ekonomi yang diunjur tidak bertambah baik.

"Mesyuarat mengambil maklum bahawa kumpulan B40 telah meningkat menjadi kumpulan B60 dan penyediaan bantuan bagi kumpulan pendapatan terkebawah ini mesti diberikan tumpuan oleh kerajaan,” katanya.

Justeru katanya bagi membantu meringankan beban kumpulan ini, PN mengarahkan seluruh jentera parti di semua peringkat melaksanakan program Prihatin Rakyat di seluruh negara bagi menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Majlis Tertinggi PN pada mesyuarat sama juga telah meluluskan pelantikan ketua-ketua kawasan bagi negeri Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan Pahang.

-Bernama