Skip to main
Logo Malaysiakini

Tinjauan: Masih ramai pakai pelitup muka walaupun tak lagi wajib

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kerajaan pada Rabu lalu mengumumkan pemakaian pelitup muka di dalam premis dan kawasan tertutup tidak lagi diwajibkan berkuat kuasa serta merta.

Justeru, orang ramai diberikan pilihan sama ada mahu memakai pelitup muka atau tidak sekiranya berada di dalam sesebuah premis.

Malaysiakini membuat tinjauan di dua lokasi yang menjadi tumpuan pengunjung di sekitar Lembah Klang iaitu Petaling Jaya dan Shah Alam.

Di Petaling Jaya, tinjauan yang dilakukan di sebuah pusat membeli belah mendapati kebanyakan pengunjung masih mengenakan pemakaian pelitup muka walaupun ia tidak lagi diwajibkan.

Seorang pengunjung, Hakim Shafie, 36, berkata, dia akan memakai pelitup muka ketika berada di sesebuah tempat yang terdapat ramai orang.

Katanya, dia juga akan memastikan anak-anaknya memakai pelitup muka walaupun di tempat yang lengang berikutan mereka masih belum menerima vaksin.

“Kalau ramai sangat orang saya akan pakailah, kalau tak ramai mungkin tak perlu pakai.

“Tapi untuk anak-anak saya memang bagi pakailah sebab masih belum divaksin," katanya kepada Malaysiakini.

Sementara itu, Aidil Putera Mohd Nazmi, 24, menyokong keputusan kerajaan tidak lagi mewajibkan pemakaian pelitup muka di dalam premis memandangkan pandemik Covid-19 kini sudah memasuki fasa endemik.

Aidil berpendapat kerajaan sudah semestinya menjalankan kajin sebelum membuat keputusan itu.

Pun begitu, dia masih berpendirian untuk memakai pelitup muka ketika berada di dalam premis bagi menghindar penyakit lain yang disebabkan bawaan udara.

“Saya sokong, berdasarkan situasi keadaan Covid dalam negara kita ini sudah memasuki fasa endemik, jadi kerajaan sudah mengkaji patut atau tidak pemakaian pelitup muka ini.

“Namun bagi saya secara peribadi tetap akan memakai pelitup muka walaupun Covid-19 sudah terkawal tapi penyakit lain masih ada lag,” katanya.

Rakannya, Afiq Izzudin Khan, 24 juga berpandangan adalah wajar pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan.

“Bagi saya sudah sampai masa kerajaan tarik balik kewajipan pemakaian pelitup muka dalam premis dan sebagainya,” katanya.

Janggal tak pakai

Sementara itu, seorang pelajar UiTM yang hanya mahu dikenali sebagai Arisya, 20, menerima baik ketetapan baru ini walaupun pada mulanya berasa janggal untuk tidak memakai pelitup muka.

Dia yang ditemui tanpa mengenakan pelitup muka menganggap tiada masalah untuk tidak memakainya mengikut suasana di sekitar tempat yang dikunjungi.

“Agak janggal tapi saya boleh terima sebab dulu kita tak pakai pelitup muka, lepas tu tiba-tiba PKP kita kena pakai setiap masa sama ada di luar atau tempat tertutup.

“Jadi bagi saya, okay tak ada masalah apa-apa.

“Kalau kawasan lengang mungkin saya tak pakai, kalau macam ramai sangat mungkin saya pakai,” jelasnya.

Dalam pada itu, tinjauan di pusat membeli di Shah Alam juga mendapati masih ramai individu mengenakan pelitup muka.

Abdul Rahman Hakim, 23, berkata walaupun sudah memasuki fasa endemik, dia percaya virus Covid-19 masih boleh merebak dengan cepat.

“Saya juga risau akan kesihatan diri sendiri, jadi sebab itu saya kenakan pelitup muka setiap masa,” katanya.

Siti Mariam, 34, pula menganggap kini terpulang kepada orang ramai untuk memakai pelitup muka atau tidak, bergantung kepada situasi dan kesedaran masing-masing.

“Lagipun sebenarnya bergantung kesedaran masing-masing.

“Dalam mall pun tengok kepada pengunjunglah, kalau kita rasa ramai, pakai. Kalau kita tak sihat pakailah,” jelasnya.