Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Mencongak untung-rugi Muda bersama PH

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Baru sahaja menyampaikan hasrat secara terbuka untuk menyertai Pakatan Harapan (PH), parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) teruk dikritik. Bukan saja daripada orang awam malah penyokong PH sendiri.

Lebih buruk lagi apabila perbincangan mengenainya terus berlangsung dari sudut emosi dan apa yang terluka di Putrajaya selama 22 bulan.

Dalam konteks politik menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-15, setiap keputusan dibuat mana-mana parti - khususnya Muda dan PH - harus cermat agar sokongan pengundi asas dan pengundi atas pegar dapat dikekalkan.

Mereka perlu melihat parti yang berkenaan benar-benar mampu mentadbir Putrajaya dan tidak mengalih sokongan kepada Umno-BN mahupun Perikatan Nasional (PN).

Sekurang-kurangnya, inilah asas persefahaman utama dalam membincangkan penyertaan Muda menjadi sebahagian PH. Dan, ia perlu dibincangkan secara realistik.

Sebahagian pengundi melihat Muda sebagai prospek baru untuk menawarkan alternatif segar selepas krisis politik melanda Malaysia.

Muda yang dipelopori pemimpin belia yang mempunyai pelbagai kemahiran dan citra, dilihat mampu memberi sesuatu yang baru kepada rakyat Malaysia yang sudah muak dengan percaturan politik lama.

Mahu jadi 'abang besar'

Suka atau tidak, sejak awal ditubuhkan, Muda telah menunjukkan kemampuan yang luar biasa. Mereka adalah antara kumpulan paling agresif membantu mahasiswa dan pelajar keciciran sewaktu pandemik melanda negara.

Mereka juga berjaya menggerakkan sebahagian besar sukarelawan untuk misi bantuan banjir tahun lepas.

Boleh dikatakan, gerak kerja Muda boleh membuat sayap muda parti politik lain berasa tercabar. Malah bantuan kebajikan Ebit Liew pun mungkin 'tewas'. Dan, mesej mereka dalam memperjuangkan politik berintegriti kian mendapat perhatian rakyat.

Atas hujah ini, saya optimis untuk melihat Muda membina gerakannya sendiri sama ada di lapangan aktivisme mahupun gelanggang pilihan raya.

Usia parti yang masih remaja tidak akan merugikan Muda. Mereka masih mempunyai masa bagi memperkukuh organisasi.

Bergerak solo itu satu yang memudahkan pergerakan Muda. Tidak perlu berunding kerusi dan menempah pening dengan cacamarba gabungan politik seperti BN, PH, dan PN yang semuanya mahu menjadi ‘abang besar’ sehingga pembaharuan sukar dicapai.

Tetapi, menjadi parti bergerak solo atau ‘kuasa ketiga’ bukanlah sesuatu yang menguntungkan dalam politik MaLaysia.

Lihat sahaja bagaimana PAS yang kononnya mahu menjadi ‘kuasa ketiga’ dalam PRU ke-14 akhirnya terpaksa berpelukan dengan Umno dan Bersatu dalam dua gabungan parti politik yang berbeza demi kuasa.

Jadi, apa rasionalnya Muda juga berdiri sebagai kuasa ketiga dan bertanding solo dalam pilihan raya?

Hakikatnya, pilihan raya di Malaysia masih lagi bertunjangkan perlawanan antara gabungan parti politik sejak PRU 1990. Gabungan parti politik pembangkang menjadi ramuan berkesan untuk menolak hegemoni BN yang mendominasi parlimen dengan majoriti dua pertiga.

Antara gabungan parti pembangkang yang mampu menggugat parti kerajaan sejak tiga dekad yang lalu ialah Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan Gagasan Rakyat (GR) dari 1990 hingga 1995, Barisan Alternatif (1999-2004), Pakatan Rakyat (2008 - 2015), dan kini PH (sejak 2016).

Boleh juga diambil kira kemenangan Muda dalam pilihan raya negeri (PRN) di Johor pada Mac lalu melalui kerusi Puteri Wangsa yang terhasil daripada kerjasama parti itu bersama PH secara prinsip untuk melawan BN dan PN.

Mencabar idea-idea dasar

Menariknya, Muda tewas di tempat kedua di DUN Tenang dan Bukit Permai, masing-masing kalah dengan majoriti 14.5 peratus dan 21.1 peratus. Muda juga tidak hilang deposit bagi setiap DUN PRN Johor yang mereka tandingi.

Perkara ini sekurang-kurangnya menjadi ukuran kebolehan Muda memberi saingan kepada BN dan PN di kawasan marginal. Ia juga membuktikan kerjasama PH berbaloi dan mungkin menjadi faktor mengapa Muda mahu menyertai PH.

Apa lagi yang dapat dicapai jika penyertaan Muda dalam PH menjadi realiti? Apa nilai tambahnya?

Pertama, Muda mampu menjadi ‘pintu’ kepada PH memperkukuh komunikasi bersama pengundi, khususnya kohort belia.

Pendekatan Muda menerangkan sesuatu isu secara mudah dan menarik menerusi platform didominasi belia adalah berbeza daripada komunikasi PH yang agak mendatar. Justeru ia menjadi kelebihan yang boleh menguntungkan PH.

Kedua, Muda dan PH dapat menggabungkan sumber kekuatan masing-masing bagi memperkukuh jentera pilihan raya. Penambahan pengundi yang kini dianggarkan sebanyak 21 juta memerlukan pembangkang memiliki jentera dan sumber yang besar bagi menyantuni potensi masing-masing.

Kerjasama PH - Muda boleh memperkukuh gerak kerja berkenaan, khususnya di kawasan separa bandar yang marginal dan dikuasai BN dan PN.

Ketiga, kemasukan Muda dalam PH juga akan mencambahkan lagi idea-idea dasar ekonomi, politik, dan kebajikan sosial yang lebih menarik serta konstruktif.

Kombinasi semangat dasar dipelopori Muda dan pengalaman PH yang cukup luas boleh menjadi ramuan untuk menarik lebih ramai pengundi menyokong mereka.

Dari sudut yang berbeza, kebersamaan Muda dalam PH mampu memberi tekanan kepada parti PH agar menawarkan pemimpin baru dan bertenaga pada PRU ke-15.

Ia juga mampu menepis perspektif dalam kalangan segelintir pemimpin PH yang hanya melihat peranan anak muda sebagai tukang pacak bendera dan peserta konvoi semasa berkempen.

Kemasukan Muda dalam PH adalah kesinambungan untuk melihat usaha menjadikan Malaysia yang lebih baik diteruskan bagi mengalahkan BN buat kali kedua di peringkat persekutuan.

Malah, kedua-dua pihak terbabit mempunyai matlamat yang sama dalam membawa agenda perubahan dan menjadi kerajaan.

Bagi pengundi, apa yang mereka mahukan adalah pembangkang yang bersatu padu. Jika pembangkang berpecah, mereka mudah mengatakan Umno-BN akan menang semula.

Saya tidak menafikan kebimbangan yang dirasai segelintir pemimpin dan akar umbi PH tentang penyertaan Muda.

Tetapi, pengalaman membuktikan gabungan parti politik pembangkang selalunya berjiwa besar dan tidak eksklusif kepada pihak tertentu sahaja.

Malah, sejak pembentukan gabungan pembangkang hampir tiga dekad lalu, parti-parti pembangkang menerima kehadiran parti baru secara terbuka dalam gabungan mereka demi memperjuangkan kesejahteraan rakyat Malaysia yang dipinggirkan BN.

Bukankah Muda juga harus diberi peluang yang sama hari ini?

Sekiranya Muda diterima dalam PH, kesepakatan pembangkang untuk berhadapan PRU ke-15 akan menjadi bertambah kukuh dan mampu menyakinkan pengundi.

Jika tidak, Muda dan PH seharusnya memikirkan jalan yang lebih strategik dalam untuk mengalahkan PN dan BN.

Pada masa sama, Muda juga tidak bersikap gopoh dan menonjolkan komitmen mereka menyertai untuk bersama PH. Pandangan peribadi ini hanyalah satu daripada seribu pemikiran yang lain.

Dan, saya percaya PH dan Muda perlu berbincang secara harmoni untuk mengembalikan mandat rakyat yang dilarikan sekumpulan ahli politik pada penghujung Feb 2020 lalu.

PH dan Muda juga perlu memastikan kesilapan yang boleh menjejaskan kepercayaan pengundi tidak berulang.


FAKHRURRAZI RASHID ialah penyelaras penyelidik Pusat Penyelidikan Untuk Kemajuan Masyarakat (Refsa).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.