Skip to main
Logo Malaysiakini

Buli siber dan 'body shaming': Wanita menang saman RM100,000

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Menyedari kerosakan yang boleh berlaku melalui perbuatan "body shaming" atau ejekan tubuh dan buli siber, Mahkamah Tinggi Johor Bahru baru-baru ini menganugerahkan RM100,000 kepada seorang usahawan yang menerima kritikan itu di Facebook.

Dalam penghakimannya, pesuruhjaya kehakiman Shamsulbahri Ibrahim berkata RM100,000 itu adalah pampasan yang munasabah memandangkan "pilihan perkataan yang dikeluarkan oleh defendan, yang bukan sahaja difitnah tetapi juga dibuli siber dan ejekan tubuh terhadap plaintif".

Dia juga mengarahkan defendan supaya menyiarkan pernyataan permohonan maaf di semua akaun Facebooknya dan mengekalkan kenyataan itu selama sekurang-kurangnya enam bulan dari tarikh penghakiman.

“Pada pandangan saya jumlah di atas adalah mesej kepada orang ramai khususnya kepada masyarakat siber agar menjaga adab dan sikap ketika menggunakan media massa yang menjadi medium komunikasi penting masa kini.

“Tambahan pula, tidak kira betapa tidak bersetuju dengan pandangan orang lain, perbuatan memfitnah, membuli dan mengaibkan orang lain adalah perkara yang harus dielakkan,” katanya.

Penghakiman itu disampaikan di Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 30 Mei, namun penghakiman bertulis itu disiarkan di laman web e-Kehakiman minggu ini.

Plaintif, Suharnizan Mohd Sidek, memfailkan saman terhadap defendan, Noorazira Pissal, yang merupakan duta produk pelangsingan dan pemutihan kulit, kerana memfitnahnya dalam siaran Facebook Live pada 8 Ogos 2020.

Mahkamah mendengar bahawa defendan telah mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah selepas plaintif meninggalkan komen di "Facebook Livenya" mempromosikan produk pelangsingannya semasa demonstrasi masakan.

"Live masak, live makan-makan, letak produk kurus, boleh kurus ke?" soal plaintif.

Sebagai tindak balas, defendan telah melakukan kecaman lisan selama lapan minit, di mana dia menghina plaintif, termasuk mengejek bentuk badan dan berat badannya.

Defendan turut berkongsi gambar plaintif dan anak-anaknya serta mengenal pasti tempat kerjanya.

Defendan telah memadamkan posting, namun ia disiarkan semula oleh di laman web Makcik Bawang Channel, Makcik Kiah Channel;, Awatt Syeikk Chaneel dan Surat Khabor Channel pada 9 April 2020.

Pesuruhjaya kehakiman berkata meskipun defendan telah mengeluarkan semua postingnya, namun dia tidak berusaha untuk meminta pihak ketiga membuang siaran semula itu.

Tambahnya, defendan, duta jenama produk pelangsingan Klubna Laleh dan produk pemutihan kulit Miruku White, juga mempunyai lebih 700,000 pengikut di Facebook.

Penghakiman itu sejajar dengan langkah Kementerian Komunikasi dan Multimedia tahun lalu untuk menyediakan kertas Kabinet mengenai undang-undang anti-buli siber.

Ini berikutan kes seorang remaja perempuan dipercayai membunuh diri selepas teman lelakinya mengugut untuk memuat naik gambar peribadinya di media sosial.

Kemudian menteri Saifuddin Abdullah berkata 85 peratus responden dalam tinjauan oleh Universiti Multimedia Malaysia berkata undang-undang khusus perlu digubal untuk menangani buli siber.

Undang-undang sebegitu wujud di Singapura dan Filipina, katanya, tetapi tiada kemajuan mengenai perkara ini sejak pengumuman itu dibuat pada Mac 2021.

Tahun lepas, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menerima lebih 6,000 aduan mengenai buli siber.

Bulan lalu, seorang ibu kepada tiga anak dan pengguna Tik Tok popular meninggal dunia kerana bunuh diri selepas menerima komen berunsur kebencian di platform media sosial.

Faktor untuk membunuh diri adalah kompleks dan sukar untuk mengaitkan satu punca motivasi.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia menganggapnya sebagai isu kesihatan yang serius tetapi berkata ia boleh dicegah dengan campur tangan yang betul.

Jika anda berasa tertekan atau ingin membunuh diri, atau mengenali seseorang, sila hubungi talian hotline berikut:

Talian Kasih
Talian Utama: 15999

The Befrienders
Hotline: 03-76272929

Pusat Kaunseling Agape Malaysia
Talian Penting: 03-77855955 atau 03-77810800
Life Line Association Malaysia
Hotline: 03-42657995