Skip to main
Logo Malaysiakini

Gunung Lambak 'digondol': Pemilik pertahan pembersihan - 'Itu tanah persendirian'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Orang ramai di Kluang, Johor terkejut apabila melihat kawasan di kaki Gunung Lambak yang menjadi mercu tanda popular bagi penduduk tempatan dan pelancong, semakin gondol sejak beberapa bulan lalu.

Sesetengah pihak khuatir projek yang terletak di lereng gunung itu boleh menyumbang kepada berlakunya kejadian tanah runtuh atau banjir pada musim hujan.

Persoalan telah dibangkitkan mengenai status kawasan lereng bukit itu jika ia adalah hutan simpan dan kerajaan telah menjalankan tugasnya untuk campur tangan atau memantau projek tersebut.

Malaysiakini mendapati kontroversi ini berpunca daripada masalah yang berpanjangan di Malaysia - perancangan tanah yang lemah dalam tempoh beberapa dekad.

Sebanyak 17 bidang tanah berkeluasan 92 ekar bersebelahan dengan Hutan Simpan Renggam telah ditukar syarat sebagai tanah pertanian persendirian sejak 1944, dan kini dimiliki oleh syarikat tempatan bernama Steadfast Properties Sdn Bhd.

Ia berdasarkan dokumen carian tanah dan jawapan bertulis yang diberikan oleh Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi kepada Dewan Undangan Negeri (DUN).

Salah seorang pemegang saham Steadfast Properties, yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Goh ketika dihubungi Malaysiakini, berkata rancangan mereka adalah untuk menjadikan kawasan itu sebagai ladang durian.

Dia mendakwa bahawa tanah pertanian itu telah lama diwarta sebelum kawasan perumahan sekitar dibina.

Menurut Goh, Steadfast Properties membeli tanah itu tahun lalu selepas menyemak dengan pejabat tanah dan agensi kerajaan lain bahawa ia adalah tanah pertanian yang dibenarkan untuk penanaman pokok durian.

“Ini bukan tanah hutan simpan, tetapi tanah pertanian persendirian. Isu ini telah disalah ertikan oleh rakyat.

“Geran tanah itu mula-mula dikeluarkan pada 25 Jan 1944. Kami telah menyemak guna tanah sebelum membelinya, dan pihak berkuasa tempatan dan pejabat tanah berkata kami boleh menanam pokok durian di atas tanah itu - tiada pertukaran guna tanah yang terlibat," kata Goh.

Goh mendakwa hanya satu daripada 17 plot tanah mencapai ketinggian 256m dari paras laut, manakala baki 16 plot di bawah 200m. Titik tertinggi Gunung Lambak iaitu kira-kira 2 kilometer dari Kluang ialah 510m dari aras laut.

Goh berkata dia dimaklumkan bahawa getah telah ditanam di kawasan ini sebelum bekas pemilik tanah itu menjadikan ia sebagai ladang kelapa sawit pada tahun 1980an.

Bagaimanapun, katanya tanah itu telah lama terbiar menyebabkan pokok dan tumbuh-tumbuhan lain menutupi kawasan itu.

Goh berkata syarikatnya memulakan kerja pembersihan tapak pada April dan merancang untuk menggunakan tanah seluas 85 ekar bagi penanaman pokok durian.

Susulan kontroversi itu, Steadfast Properties menerima arahan supaya menghentikan kerja daripada Majlis Perbandaran Kluang (MPK) pada 31 Ogos lalu.

Goh berkata, dia bimbang pokok dan dahan yang telah dibersihkan boleh menyebabkan kebakaran hutan sekiranya syarikat itu tidak dibenarkan mengalihkannya keluar.

Goh mendakwa projek pertanian swasta tidak perlu mengemukakan laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) atau menyediakan sebarang dokumentasi kepada "pusat sehenti" (OSC) majlis tempatan secara konvensyen, namun syarikat itu bersedia memberi kerjasama penuh kepada MPK.

Notis berhenti kerja itu dikeluarkan di bawah Akta Jalan, Saliran dan Bangunan 1974.

Pada 29 Mei lalu, TV9 melaporkan MPK mengeluarkan arahan berhenti kerja lebih awal selepas Pegawai Daerah (DO) Kluang Jamaludin A Hamid menerima aduan daripada penduduk bahawa aliran air tersekat oleh kerja-kerja pembersihan tapak.

Pegawai Daerah (DO) Kluang Jamaludin A Hamid berkata hasil pemeriksaan di ladang seluas 37 hektar itu mendapati pemilik melakukan kerja-kerja perparitan dan jalan raya tanpa kelulusan.

Sinchew Daily sebelum ini melaporkan penduduk tinggal berhampiran tapak yang dibersihkan itu bimbang projek ladang durian itu boleh menyebabkan tanah runtuh kerana jarak antara pokok durian lebih luas dan ini boleh mengakibatkan hakisan air dan tanah.

Kain rentang "Save Our Lambak" digantung di beberapa tempat di Gunung Lambak selepas projek durian itu diketahui umum.

Menurut China Press, mereka berharap kerajaan negeri akan campur tangan bagi mengelakkan sebarang kemungkinan kerosakan ekosistem dan alam sekitar serta tanah runtuh.

Mereka melihat arahan berhenti kerja sebagai penyelesaian sementara memandangkan tanah itu dimiliki dan dibangunkan secara sah oleh sebuah syarikat.

Dalam pada itu, Goh menjelaskan bahawa Steadfast Properties merancang untuk membina dua kolam tadahan sebagai langkah keselamatan.

Selain itu, tanaman jangka pendek seperti pokok pisang akan ditanam di celah-celah pokok durian bagi memperbaiki tanah dan menampung air serta menjana pendapatan sementara menunggu pokok durian matang, yang mungkin mengambil masa kira-kira lima hingga lapan tahun.

Projek durian itu mendapat perhatian serius sejak kerja-kerja pembersihan tapak bermula pada April tahun ini.

Adun Mengkibol Chew Chong Sin (gambar, atas) meminta kerajaan negeri memberikan butiran pemilikan tanah dan butiran lain.

Bagaimanapun, kerajaan negeri hanya mendedahkan nama pemilik tanah, saiz dan nombor PT tanahnya. Ia tidak memberikan kronologi pemilikan tanah itu.

"Sebagaimana hak pemilik tanah di dalam Kanun Tanah Negara 1965, berhak membangun atau mengusahakan tanah milik dengan mematuhi syarat sedia ada dan juga peruntukan perundangan yang berkaitan.

"Pemilik telah menjalankan kerja-kerja pembersihan bagi maksud pertanian tetapi disebabkan ada hasil kayu yang tidak mendapat kelulusan permit pengeluaran, Jabatan Perhutanan telah mengarahkan kerja-kerja berkaitan dihentikan sehingga kebenaran diperolehi," kata Jawapan Bertulis di Dewan Undangan Negeri Johor bertarikh 23 Jun lalu.

Pada 7 Sept lepas, seorang penduduk tempatan, Lim Kim Hai, telah dipanggil oleh polis untuk memberi kenyataan selepas dia berkongsi gambar dan video tanah yang dibersihkan itu di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kluang Bahrin Mohd Noh dilaporkan mengesahkan bahawa polis telah memanggil Lim untuk disoal siasat selepas menerima aduan.

[Baca berita asal]