Skip to main
Logo Malaysiakini

Banjir: SU Agung PBB bimbang perubahan iklim lepas lawat Pakistan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

GLOBAL | Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) António Guterres yang mengadakan lawatan ke Pakistan telah menyuarakan kebimbangan mengenai isu perubahan iklim.

"Pakistan dan negara-negara membangun lain terpaksa membayar harga mahal kerana tindakan mereka yang tidak menghiraukan pelepasan asap yang berpunca daripada bahan api fosil.

"Dari Islamabad, saya merayu kepada dunia: Hentikan kegilaan. Melaburlah dalam tenaga boleh diperbaharui sekarang. Hentikan berperang dengan alam semula jadi," ciap Guterres di Twitter pada Sabtu.

Beliau turut memberi amaran keras mengenai bahaya pelepasan gas rumah hijau.

Bercakap di sidang akhbar di Islamabad pada Jumaat, beliau merayu lebih banyak bantuan antarabangsa untuk membantu usaha pemulihan dan pembinaan semula Pakistan.

"Tahap pelepasan (karbon) negara ini agak rendah, tetapi Pakistan adalah satu daripada negara paling terjejas teruk akibat perubahan iklim," katanya.

Guterres berkata anggaran awal kerosakan banjir ialah kira-kira AS$30 bilion.

Beliau menyifatkan bencana yang menimpa Pakistan kesan daripada perubahan iklim itu sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Banjir yang dicetuskan oleh hujan lebat luar biasa telah melanda banyak kawasan di Pakistan terutamanya di wilayah Sindh, Balochistan, Khyber Pakhtunkhwa dan Punjab.

Bencana itu telah meragut kira-kira 1,400 nyawa dan merosakkan 1.7 juta rumah sejak pertengahan Jun.

- Bernama