Skip to main
Logo Malaysiakini

Wakil k'jaan Pahang bentang laporan Tasik Chini di Paris minggu depan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Mohd Sharkar Shamsudin dan Setiausaha Kerajaan negeri, Sallehudin Ishak akan ke Paris minggu depan bagi membentangkan laporan kerja penambahbaikan Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan ketika ditemui media selepas menghadiri program penanaman pokok di Tasik Chini, dekat Pekan, Pahang, petang tadi.

Katanya, Mohd Sharkar dan Sallehuddin dijadualkan membentangkan laporan terkini mengenai usaha penambahbaikan di tasik Chini di pejabat Petubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik PBB (Unesco).

“Saya difahamkan kerajaan Pahang telah pun siap membuat satu laporan terkini dan laporan itu akan dihantar sendiri oleh setiausaha kerajaan negeri ke Paris, pejabat Unesco yang akan menguruskan perkara ini.

“Dalam tempoh minggu depan, setiausaha kerajaan Pahang dan diketuai Mohd Sharkar akan mengemukakan sendiri laporan ini dan mungkin apa-apa penjelasan akan diberikan di sana, segala fakta yang telah kita laksanakan, gambar dan catatan benda yang kita buat, dimasukkan dalam laporan itu,” katanya.

Takiyuddin turut mengulangi keyakinan bahawa status Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini boleh dipertahankan dan kekal dalam senarai Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR) Unesco.

“Sebelum ini kita bukan menerima teguran (dari Unesco), tetapi saranan daripada pihak yang memberikan pengiktirafan supaya kita melaksanakan penambahbaikan.

Tiada ada apa-apa pelanggaran tetapi mereka minta kita buat penambahbaikan untuk memastikan ciri-ciri yang ada bagi tapak biosfera ini diiktiraf.

“Kementerian melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan kerajaan Pahang telah mengambil tindakan, memberikan penambahbaikan kepada tasik ini,” katanya lagi.

Tasik Chini mendapat status itu pada Mei 2009 dan ia berisiko ditarik balik selepas penemuan yang dibentangkan di Majlis Penyelarasan Antarabangsa Unesco ‘Man and Biosphere’ (MAB) pada Sept tahun lalu mendapati “kawasan hutan yang baru dibersihkan dengan penukaran tanah yang intensif" masih berlaku, selain mengesan pembukaan semula lombong lama di lokasi sekitarnya.

Selain itu, laporan berkenaan turut menyebut ketiadaan peta pengezonan yang dikemas kini dan pelan pengurusan untuk rizab biosfera.

Kerajaan Malaysia diminta mengemukakan pelan terperinci mengenai Rizab Biosfera Tasik Chini hujung bulan ini untuk penelitian Unesco.

Pelan itu mesti menyediakan pengezonan terkini rizab biosfera dengan "mengekalkan tiga fungsi rizab biosfera", butiran pengurusan rizab biosfera, dan pengesahan pejabat atau pengurus yang menyelaraskan aktiviti rancangan pengurusan rizab biosfera.