Skip to main
Logo Malaysiakini

Gunung Lambak: Pemilik diarah hantar EIA, pulihkan tanah dalam masa 3 bulan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pegawai Daerah Kluang Jamaludin A Hamid mengarahkan pemilik projek perladangan durian untuk menghentikan kerja pembersihan di Gunung Lambak dan melaksanakan pemulihan tanah dalam tempoh tiga bulan.

Jamaludin berkata pemilik tanah juga perlu menghantar laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) memandangkan projek ladang durian itu terletak di kawasan cerun.

Perkembangan itu selepas projek tersebut mengundang kecaman daripada penduduk setempat yang bimbang dengan risiko banjir dan tanah runtuh.

Jamaludin ketika dihubungi Malaysiakini juga berkata pemilik tanah perlu mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan jabatan berkaitan, seperti Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pertanian serta Jabatan Pengairan dan Saliran.

"Walaupun pembangunan (projek) kurang daripada 100 hektar tetapi mereka kena hantar EIA sebab kawasan cerunnya lebih 50 peratus.

"Kami telah pasang penghadang dan Majlis Perbandaran Klang pun sudah hantar notis dan panggil pemilik tanah agar hentikan kerja," katanya.

Dua hari lalu, Berita Harian memetik Jamaludin sebagai berkata pemilik tanah telah diberikan Notis Henti Kerja pada 1 September lalu, selain diarahkan melakukan kerja pemulihan termasuk menanam tanaman tutup bumi bagi memastikan tanah tidak menjadi lumpur, seterusnya mengelak berlakunya insiden ketika musim tengkujuh nanti.

Dalam pada itu, Jamaludin memaklumkan pemilik tanah tidak membuat permohonan kepada Jabatan Pertanian sebelum memulakan kerja, sedangkan jabatan itu sudah menetapkan garis panduan berkenaan perladangan durian berskala besar.

"Walaupun tanah milik persendirian ia masih terikat dengan peraturan jabatan berkaitan.

"Contohnya kita nak bina perumahan, mesti ikut syarat oleh jabatan. Walaupun tanah kita sendiri, mana boleh kita buat sesuka hati macam mana, mesti ada sistem saliran misalnya," katanya lagi.

Justeru, katanya, belum dipastikan bila pemilik tanah akan dibenarkan menyambung semula projek itu memandangkan mereka perlu menghantar pelan untuk semakan semua jabatan terlibat dahulu.

Semalam, Malaysiakini melaporkan 17 plot tanah dengan jumlah keluasan 92 ekar telah dibeli oleh Steadfast Properties Sdn Bhd tahun lalu.

Tanah itu berstatus tanah pertanian persendirian sejak 1944 walaupun terletak bersebelahan dengan Hutan Simpan Renggam.

Salah seorang pemegang saham Steadfast Properties memberitahu Malaysiakini pihaknya antara lain merancang untuk membina dua kolam tadahan sebagai langkah keselamatan.

Dia yang hanya ingin dikenali sebagai Goh mendakwa, projek pertanian swasta tidak perlu mengemukakan laporan EIA atau menyediakan sebarang dokumentasi kepada "pusat sehenti" (OSC) majlis tempatan secara konvensyen, namun syarikat itu bersedia memberi kerjasama penuh kepada MPK.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi mencadangkan pihak berkuasa tempatan (PBT) agar membenarkan pemilik tanah kembali ke kawasan itu untuk menaman tanaman untuk menutup permukaan bumi, walaupun Notis Henti Kerja telah dikeluarkan.

Katanya, penyelesaian jangka pendek itu penting bagi mengelakkan tanah runtuh memandangkan musim tengkujuh sudah semakin hampir.

"Kita tidak boleh menunggu sehingga semua permohonan dan EIA diluluskan," katanya.

Adun Mengkibol Chew Chong Sin pula mencadangkan agar kerajaan negeri membuat pertukaran tanah dengan pemilik tanah itu dan mewartakan tanah dengan ketinggian paras 100 meter dari paras laut sebagai zon penampan bagi Hutan Simpan Renggam.

Katanya, ia akan dapat menjaga ekosistem dan persekitaran di Gunung Lambak.

Dalam jawapan bertulis DUN kepada Chew bertarikh 23 Jun lalu, Menteri Besar Johor Onn Hafiz menjelaskan cadangan itu sukar dilaksanakan.

Katanya, antara kesukarannya adalah kerajaan perlu membuat proses pengambilan tanah dan membayar pampasan, serta mencari tanah yang dipersetujui pemilik untuk ditukarkan.

[Baca berita asal]