Anwar bayangkan susah untuk serah Muda kerusi dimenangi PH pada PRU14
Pengerusi PH Anwar Ibrahim memberi bayangan adalah mustahil bagi gabungan itu memberi laluan kepada parti Muda di kerusi yang kini dipegang parti komponennya.
Anggota Parlimen Port Dickson itu juga mengulangi perbincangan antara parti-parti dalam PH sedang berjalan dan beberapa pengumuman berkaitan akan dibuat tidak lama lagi.
"Seperti dijelaskan rundingan sekarang di antara PH. Ada kemajuan di beberapa negeri dan akan diumumkan dalam masa singkat.
"Kemudian kalau ada beberapa rundingan lain, kalau dipersetujui nanti, tentunya ada ruang untuk bincang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program interaksi belia di Kuala Lumpur, hari ini.
Anwar berkata demikian ketika ditanya rundingan yang sedang berjalan mengambil kira permohonan Muda untuk menyertai PH termasuk jika ada permintaan kerusi yang disandang oleh parti daripada PH.
Bagaimanapun Anwar berkata, kebiasaannya kerusi yang dimenangi PH atas nama parti pada 2018 akan kekal dalam kalangan parti masing-masing.
"Tapi selalunya dalam PH kerusi-kerusi yang telah dimenangi atas nama parti pada 2018 kekal di kalangan parti masing-masing," katanya.
Anwar juga mengulangi bahawa majlis presiden Harapan akan membincangkan permohonan Muda, berdasarkan pelbagai pandangan termasuk kebimbangan yang dilaporkan dibangkitkan pemuda PKR.
"Saya telah maklumkan kepada mereka (Muda) mereka boleh meneruskan perbincangan dengan pemimpin parti yang dilantik dan itu berterusan.
"Saya tidak fikir itu adalah masalah untuk memulakan perbincangan," katanya.
Awal hari ini, Timbalan Presiden Muda Amira Aisya Abdul Aziz, sebagai maklum balas kepada Ketua AMK Adam Adli Abdul Halim, berkata partinya bersedia untuk memulakan mesyuarat rasmi dengan PH dan menjawab soalan yang timbul daripada hasrat parti itu untuk menyertai gabungan itu.
Adam sebelum ini berkata tiada "jalan mudah" untuk Muda menyertai PH kerana terdapat banyak pertimbangan yang perlu dibuat sebelum sesebuah parti itu boleh diterima ke dalam gabungan PH.
"Mana-mana parti di negara ini boleh menyuarakan hasrat untuk menyertai mana-mana gabungan politik.
"Dalam konteks PH, keputusan terletak di tangan Majlis Presiden PH yang hari ini dipengerusikan oleh Anwar Ibrahim," kata ketua Pemuda PKR itu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai