Skip to main
Logo Malaysiakini

Air pasang besar di Kuala Kedah jejaskan rumah, kedai

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Sejumlah 30 rumah dan premis perniagaan serta gerai makanan di sekitar Pekan Kuala Kedah, di Alor Setar dinaiki air berikutan fenomena air pasang yang berlaku hari ini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Setar Kapten (PA) Norlizawati Ismail berkata antara kawasan terjejas termasuk di sekitar Jeti Kuala Kedah, Pasar Marina Kota Nelayan dan Jalan Tok Pasai.

"Pemantauan telah dilakukan pada pukul 1 hingga 1.55 tengah hari dan bacaan yang dicatatkan pada pukul 1.22 petang menunjukkan paras air berada pada ketinggian 2.95 meter.

"Paras air menunjukkan peningkatan kesan daripada air pasang besar yang berlaku.

"Terdapat rumah penduduk dan gerai-gerai yang berada di kawasan berkenaan terjejas namun keadaan masih terkawal," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pada masa ini keadaan cuaca di kawasan terbabit adalah baik, tidak berangin dan tidak hujan.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut melakukan pemantauan di beberapa lokasi di Daerah Kuala Muda khususnya di kawasan Pantai Kota Kuala Muda dan didapati berlaku sedikit kenaikan air yang melepasi paras sungai dan melimpah ke jalan raya.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda Kapten (PA) Azahar Ahmad bagaimana pun berkata setakat ini keadaan adalah terkawal dan tiada premis atau kediaman yang dinaiki air di daerah itu.

- Bernama