Skip to main
Logo Malaysiakini

Tuduhan PAS dapat RM90 juta: 'Tulang lama diselongkar haiwan tertentu' - Fadhli

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari menjangkakan isu dana 1MDB berjumlah RM90 juta yang didakwa masuk ke dalam akaun PAS akan dimainkan semula oleh Pakatan Harapan menjelang pilihan raya umum ke-15.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata perkara tersebut meskipun dia pernah mendesak kerajaan PH sebelum ini pada 2018 untuk mendedahkan individu yang menerima dana RM90 juta itu.

“Realitinya, isu RM90 juta ini tidak lebih daripada wayang opera lama yang ditayang semula.

“Dalam bahasa lain, ia tulang lama yang sudah lama terperap di tempat pembuangan sampah.

"Hanya haiwan tertentu sahaja yang menyelongkar sampah mencari tulang lama,” katanya dalam satu kenyataannya hari ini.

Dia mempertikaikan sekiranya dakwaan tersebut benar, mengapa ia tidak disiasat sehingga ke akar umbi, ketika pentadbiran PH.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim pada 8 Sept membangkitkan semula dakwaan PAS menerima dana RM90 juta.

Pemimpin DAP itu mengeluarkan semula dakwaan tersebut, merujuk kepada kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang mengatakan sebahagian besar pelaku rasuah di negara ini membabitkan orang bukan Islam dan bukan bumiputera.

Sim berkata PAS secara jelas menggunakan racun perkauman untuk mengalih perhatian daripada lima skandal rasuah yang melibatkan PAS, di mana antaranya merupakan isu penerimaan dana RM90 juta yang didakwa sebelum ini.

“PAS telah gagal menjelaskan dakwaan (pengarang Sarawak Report) Clare Rewcastle-Brown bahawa PAS menerima RM90 juta daripada Umno dan bahawa Presiden PAS Abdul Hadi Awang telah membayar RM1.4 juta kepada Clare selepas menyelesaikan kes saman fitnah tentang dakwaan sogokan RM90 juta tersebut di luar mahkamah,” dakwanya.

Tambah Sim, isu rasuah bukan soal kaum mahupun agama, tetapi soal sistem yang tidak adil dan tidak telus.

“Jangan sesekali PAS ingat mereka dapat menyucikan diri daripada rasuah kerana sokongan dan toleransi mereka kepada pemimpin dan sekutu politik mereka yang rasuah telah menyebabkan rasuah semakin membarah di negara ini yang terbukti dengan penurunan kedudukan indeks persepsi rasuah ketika PAS menjadi kerajaan.

“Rasuah bukan sekadar melibatkan pemberi dan penerima malah mereka yang membuka jalan dan membenarkan rasuah itu berlaku,” katanya.