Skip to main
Logo Malaysiakini

TI-M gesa SPRM dedah siasatan hutang RM29 bilion GLC

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Transparency International Malaysia (TI-M) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan hasil siasatan terhadap sebuah syarikat berkaitan kerajaan yang memiliki hutang RM29.68 bilion.

NGO anti rasuah itu juga menggesa pembentukan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat Pembinaan PFI Sdn Bhd, yang merupakan sebuah syarikat milik Kementerian Kewangan.

Presidennya, Muhammad Mohan berkata gesaan tersebut dibuat selepas mendapati kekurangan akauntabiliti dan ketelusan terhadap pengurusan projek negara dan pengendalian kes terbabit.

"Apabila inisiatif 'pembiayaan swasta' ini dijamin dan dibiayai oleh agensi kerajaan dan pembiayaan disediakan oleh bank yang kebanyakannya dimiliki oleh Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC), kita mesti akan tertanya, adakah projek-projek tersebut dipanggil sebagai projek 'swasta', hanya untuk mengelakkan akauntabiliti?” soalnya.

"Jika SPRM telah menjalankan siasatan menyeluruh ke atas kes itu dan mendapati tiada kesalahan yang dilakukan, malah bercanggah dengan semua penemuan C4 (menggunakan sumber awam), maka SPRM harus membersihkan nama GLC tersebut dengan penemuan mereka," katanya dalam satu kenyataan.

Pembinaan PFI, menurut kementerian, ditubuhkan pada 28 September 2006, sebagai syarikat tujuan khas (SPV) untuk membiayai projek pembangunan Rancangan Malaysia Kesembilan.

Syarikat ini dibiayai oleh Kumpulan Wang Pembangunan yang dibiayai oleh pinjaman kerajaan dan lebihan pendapatan dari Kumpulan Wang Disatukan.

Menurut laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 2013, Pembinaan PFI mengumpulkan RM30 bilion dari Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dan

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada tahun 2007.

Pada 2020 dilaporkan bahawa Pembinaan PFI mempunyai tahap hutang sebanyak RM29.68 bilion setakat 30 Jun tahun itu.

Mengulas lanjut, Muhammad berkata TI-M terkejut dengan kekurangan akauntabiliti dan ketelusan terhadap pengurusan projek negara dan pengendalian kes seperti yang dilaporkan.

“Tambahan pula, di manakah pendedahan dan maklumat terkini Pesuruhanjaya Tanah Persekutuan dan Pembinaan PFI Sdn Bhd mengenai projek bernilai tinggi ini, lebih sedekad sejak ia ditubuhkan?

"TI-M menyuarakan seruan daripada C4 dan masyarakat sivil untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi skandal berbilion ringgit ini dengan pendedahan yang telus kepada Parlimen bagi mengelakkan wujudnya sebuah lagi 1MDB, SRC International atau Sabah Watergate.

"Dana pencen dan persaraan kami bukanlah sumber pembiayaan untuk projek berisiko tinggi,” katanya.

Bulan lalu, Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) menggesa kerajaan segera menjalankan siasatan berhubung dakwaannya mengenai pinjaman sebanyak hampir RM30 bilion oleh syarikat kepunyaan Menteri Kewangan, Pembinaan PFI Sdn Bhd.

Organisasi itu juga meminta SPRM menjelaskan siasatan pada 2018 terhadap syarikat itu.