Tak wajar dakwa kita gagal susulan kenaikan OPR
Adalah tidak wajar untuk menuduh Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi gagal berikutan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR), yang diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini, kata Pengerusinya Tan Sri Annuar Musa.
Dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pasukan khas itu di Putrajaya hari ini, Annuar berkata hal berkaitan polisi monetari negara bukan diputuskan pasukan khas itu atau kabinet, tetapi diputuskan oleh Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) di bawah BNM, yang mempunyai rekod cemerlang dalam pengurusan ekonomi negara.
“Tidak wajar seorang ahli parlimen kata OPR dinaikkan 25 mata oleh sebab itu jawatankuasa gagal.
"Terlalu dangkal cara penilaian terhadap pengurusan ekonomi negara,” kata Annuar mengulas gesaan Pengerusi DAP Lim Guan Eng (gambar, bawah) supaya pasukan khas itu dibubarkan.
Lim pada Jumaat lepas menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membubarkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi serta menyifatkan mereka tidak berkesan, cekap dan relevan, untuk membendung kenaikan harga.
Memetik kenyataan BNM bahawa kenaikan OPR disebabkan tekanan inflasi, Lim yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata perkara itu pada dasarnya menafikan dakwaan Annuar bahawa inflasi dalam keadaan terkawal.
BNM pada 8 Sept menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus, kenaikan kadar kali ketiga berturut-turut dibuat bank pusat itu.
Annuar berkata negara tertentu telah mengambil langkah drastik dengan menaikkan kadar OPR sebanyak 75 mata asas kerana mengalami tekanan inflasi yang tinggi tetapi di Malaysia, proses memulihkan OPR ke tahap stabil dibuat secara beransur-ansur dengan 25 mata asas.
Tolak bola sana sini
“Tidak perlulah merasa sangsi atas tindakan yang dilakukan MPC, kerana mereka melihat kepada keseluruhan senario untuk memastikan negara mempunyai dasar monetari yang baik,” kata Menteri Komunikasi dan Multimedia itu.
Annuar berkata komitmen Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi akan diteruskan, untuk menangani inflasi walaupun bukan satu isu yang mudah.
Beliau berkata pasukan khas berkenaan bukan diwujudkan secara ad hoc kerana ia merupakan jawatankuasa berasaskan kertas Jemaah Menteri yang disediakan Unit Perancang Ekonomi Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri.
"Tidak boleh menunding jari, tolak bola sana sini. Kabinet ambil pendekatan secara terus dan juga menguruskan satu persatu setiap permasalahan rakyat yang tidak boleh dibiarkan begitu sahaja,” katanya menambah perlu ada kerjasama antara semua pihak dan tidak bekerja secara silo.
Mengenai keresahan kejatuhan nilai ringgit, Annuar berkata keresahan tentang penurunan nilai ringgit itu sebenarnya adalah terhadap nilai ringgit berbanding nilai mata wang tertentu khususnya dolar Amerika dan dolar Singapura, berbanding USD nilai ringgit melemah tujuh peratus dan 3.9 peratus berbanding dolar Singapura.
Namun, katanya kalau dilihat secara menyeluruh, nilai ringgit adalah mengukuh berbanding mata wang negara dagangan tertentu, contoh nilai ringgit berbanding Yen Jepun mengukuh 15.5 peratus dan berbanding pound Britain mengukuh 8.2 peratus, mengukuh berbanding won Korea 7.3 peratus dan Euro 4.4 peratus.
“Bagi yang benar-benar memahami melihat daripada keseluruhan nilai mata wang, pretasi kita adalah baik dari segi itu, tetapi berbanding USD ada perkara fundamental yang diteliti BNM sepanjang masa dan membuat penyelarasan tertentu termasuk mengawal selia kenaikan OPR,” katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai