Skip to main
Logo Malaysiakini

Ramalan Rafizi Umno-BN terkubur kenyataan pengecut, kata Razlan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Razlan Rafii menyifatkan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli sebagai pengecut apabila meramalkan kehancuran Umno-BN ketika berucap di perhimpunan “Rapat Mega Keadilan” parti itu di Taman Melawati, semalam.

Razlan berkata ucapan bekas ahli parlimen Pandan itu juga memperlihatkan bahawa Rafizi faham akan penolakan rakyat terhadap Pakatan Harapan.

Oleh kerana itu, Razlan berkata Rafizi bertindak menyerang Umno-BN

"Belum masuk bertanding dah mengaku kalah, itulah perumpamaan ucapan Rafizi.

"Beliau faham penolakan rakyat kepada PH kerana banyak tipu dan janji melangit semasa PRU yang lepas.

"Diikuti oleh ketidakupayaan pimpinan PH untuk mentadbir negara.

"Banyak isu semasa mereka memerintah tidak disukai oleh rakyat sehingga BN kembali menang di PRN dan PRK," dakwanya kepada Malaysiakini.

Razlan berkata demikian mengulas ucapan Rafizi semalam yang meramalkan Umno-BN akan terkubur dalam tempoh lima hingga tujuh tahun lagi.

Dalam ucapannya itu, Rafizi juga turut mendakwa parti lawan PAS dan Bersatu akan turut sama berkubur bersama-sama Umno-BN.

“Saya yakin Umno dan BN akan berkubur dalam tempoh lima, tujuh tahun lagi. Itu saya yakin.

“Mustahil parti yang sudah begitu rosak begini boleh bina balik kekuatan dari bawah untuk mendepani cabaran dalam diri. Mustahil. Saya tidak bimbang langsung," katanya.

Mengulas lanjut, Razlan berkata Umno-BN tidak hairan dengan kenyataan yang dibuat pimpinan PKR itu.

Kata Razlan, Umno-BN telah belajar daripada kekalahan lalu malah rakyat juga sudah kenal siapa PH.

"Ungkapan terkubur ini sudah lama dimainkan, semenjak PKR ditubuhkan, bukan nak mendabik dada, BN telah belajar dari kekalahan malah rakyat juga sudah kenal siapa PH.

"PKR sehingga kini tidak ada keputusan, nak pakai logo PKR atau pun PH, saya percaya mereka ada banyak isu keyakinan sesama sendiri. Itu sebab mereka terus mainkan isu menyerang BN," katanya.