KATA ADUN | Zafrul lupa, ringgit merosot berterusan 20 tahun
Kenyataan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz bahawa kerajaan tidak akan “terlalu fokus” kepada prestasi mata wang adalah membimbangkan dan tempang daripada segi fakta.
Harus sedar bahawa ringgit bukan merosot nilainya baru-baru ini. Tren penurunan bermula sejak 20 tahun lepas. Hari ini, ringgit merosot sebanyak 32% berbanding dengan dolar Singapura, 30% dengan China dan Thailand, 21% dengan Eropah, dan 15% dengan dolar Amerika Syarikat.
Maka boleh disimpulkan bahawa kejatuhan nilai mata wang ringgit adalah satu tren jangka masa panjang yang berterusan. Persoalannya, mengapakah ini berlaku?
Salah satu sebab adalah kemerosotan Pelaburan Luar Langsung (FDI). Dari tahun 2000 hingga 2020, Malaysia hanya berjaya menarik 8% daripada jumlah FDI yang datang ke rantau Asean, berbanding dengan 24% sebelum tahun 1997.
Sekarang, Singapura muncul sebagai penarik FDI terbesar dengan pengambilan 55% daripada jumlah FDI yang datang ke rantau ini.
Di samping itu, struktur eksport Malaysia juga tidak dinaik taraf. Dasar industrialisasi kita gagal mencetuskan pengesksportan barangan yang bernilai tinggi, sebaliknya terus bergantung kepada elektrik yang murah serta pekerja asing bergaji rendah.
Ini mengakibatkan ekonomi kita lebih bergantung kepada komoditi: kelapa sawit, minyak dan gas sahaja.
Dan kita sedar bahawa sektor yang tidak diperbaharui ini tidak mampu membawa Malaysia ke tahap yang lebih baik dalam 20 tahun yang akan datang.
Punca kepada semua ini adalah tadbir urus yang lemah, persekitaran perniagaan yang tidak memberangsangkan dan penuh dengan korupsi, serta kepimpinan yang tidak berkeupayaan.
Saya terkilan, Tengku Zafrul tidak sedar bahawa penurunan ringgit adalah tren berterusan serta masalah struktur yang perlu ditangani oleh kerajaan.
Beliau juga langsung tidak mengambil berat tentang kesusahan dan penderitaan yang dihadapi oleh rakyat jelata sekarang akibat kenaikan harga barang yang berpunca daripada kejatuhan nilai mata wang ringgit.
Apabila ringgit merosot, rakyat terpaksa menggunakan lebih ringgit untuk membeli barang keperluan yang perlu diimport seperti susu, daging lembu, koko dan ubi kentang.
Maka sekiranya Tengku Zafrul tidak mengambil berat isu kejatuhan ringgit, harga barang akan naik dan terus naik.
Saya hairan jika isu sebegini boleh difahami oleh seorang Adunbiasa, mengapakah menteri-menteri tidak faham?
Jangan belum sampai musim tengkujuh, otak menteri-menteri Umno/BN sudah masuk air!
LEE CHEAN CHUNG ialah pengarah komunikasi PKR merangkap Adun Semambu.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai