Skip to main
Logo Malaysiakini

MB Selangor minta Khir Toyo 'tengok cermin'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Dr Mohamad Khir Toyo diberitahu agar tidak menyalahkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) berhubung kontroversi penyahwartaan Hutan Simpan Bukit Cherakah sebaliknya bertanggungjawab dalam isu tersebut.

Malah Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, turut meminta bekas pemimpin Umno itu "melihat pada cermin" kerana menuding jari kepada kerajaan sekarang.

"Dia (Mohamad Khir) tu kena tengok cerminlah apabila dia buat tuduhan kepada kerajaan negeri.

"Perjanjian itu (mengenai penyahwartaan Hutan Simpan Bukit Cherakah) mendedahkan kerajaan negeri kepada tuntutan mahkamah sampai RM1 juga dibelanjakan untuk pengambilan tanah pada 2008," katanya kepada media semasa ditemui di Petaling Jaya hari ini.

Justeru kata Amirudin, Mohamad Khir tidak boleh berlepas tangan saja dalam isu tersebut dan menolak apabila dipersalahkan.

Hal itu kerana, kata naib presiden PKR berkenaan, Mohamad Khir merupakan menteri besar ketika itu.

Belum ada ilham

Semalam, Mohamad Khir dilaporkan meminta Amirudin tidak menyalahkan kerajaan BN berhubung status sebahagian kawasan hutan simpan di negeri itu yang dinyah warta.

Mohamad Khir dipetik Free Malaysia Today sebagai berkata, pentadbiran PH - yang mentadbir Selangor sejak 2008 - mempunyai semua kuasa untuk menghentikan sebarang pembangunan di negeri berkenaan.

Tekanan terhadap kerajaan Selangor semakin memuncak agar mereka menarik balik langkah membatalkan pewartaan sebahagian daripada Hutan Simpan Bukit Cherakah.

Sekumpulan pertubuhan masyarakat sivil berkata Selangor gagal mematuhi Seksyen 12 Akta Perhutanan Asli Selangor 1985 yang menetapkan tanah gantian perlu disediakan sebagai hutan simpanan kekal dengan saiz yang sama.

Mohamad Khir Toyo

Mei lalu Amirudin berkata kerajaan negeri akan meneruskan proses penyahwartaan bagi menyelesaikan proses yang dihentikan pada 2006 bagi mengelak risiko tindakan undang-undang oleh syarikat berkepentingan.

Proses penyahwartaan berlaku dari sekitar 1991 hingga 2006, termasuk pada kawasan seluas 406.22 hektar. Baki Hutan Simpan Bukit Cerakah ialah 1,298.86 hektar dan Hutan Simpan Tambahan Bukit Cherakah seluas 982.80 hektar.

Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata dia belum membuat keputusan sama ada akan mengadakan pilihan raya negeri akan datang serentak dengan pilihan raya persekutuan jika Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob membubarkan parlimen tahun ini.

"Saya belum ada ilham," katanya.

Menurut Amirudin isu berkenaan perlu diteliti dan dibincagkan di di setiap peringkat dan dia akan mendapatkan pandangan daripada pucuk pimpinan Pakatan Harapan.

"Sudah tentu, sekurang-kurangnya yang kami mahukan ialah menang dan kami mahu mempertahankan Selangor sebaik mungkin, untuk mendapatkan majoriti dua per tiga, atau mendapatkan majoriti mencukupi bagi membentuk kerajaan pada masa depan," katanya.

[Baca berita penuh]