Selangor pertimbang isytihar darurat iklim
Kerajaan Selangor sedang mengkaji kemungkinan mengisytiharkan darurat akibat iklim di negeri itu bagi menangani perubahan cuaca dan banjir kilat, kata Menteri Besar Amirudin Shari.
“Kita akan mempertimbangkan (mengisytiharkan) darurat iklim. Ia adalah antara cadangan kita.
"Tetapi kita tidak boleh hanya mengumumkannya tanpa sebarang kajian dan data yang betul oleh pakar," katanya.
Amirudin bercakap kepada media di Petaling Jaya hari ini.
Katanya, kerajaan negeri melantik beberapa pakar untuk menyediakan laporan tiga tahun lalu dan cadangan mereka akan dilaksanakan sebaik laporan itu siap.
“Kami melantik Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun, bersama UPM (Universiti Putra Malaysia), dan beberapa agensi untuk menjalankan kajian pada 2019.
“Kami sudah menerima laporan awal dan laporan itu akan disiapkan pada akhir tahun ini atau awal tahun depan,” katanya.
Tambahnya, kerajaan negeri mempunyai perancangan untuk kawasan pantai yang mungkin terjejas teruk pada masa hadapan berikutan peningkatan paras air laut.
Amirudin berkata demikian ketika mengulas cadangan Ahli Parlimen Klang dari DAP Charles Santiago, yang meminta kerajaan negeri mengisytiharkan darurat iklim supaya lebih banyak perkara boleh dilakukan untuk Klang dan kawasan pantai di Selangor.
Walaupun kerajaan negeri Selangor terbuka untuk mengisytiharkan darurat akibat cuaca, kerajaan persekutuan di Putrajaya merasakan langkah sedemikian tidak diperlukan buat masa ini kerana sedang melihat langkah lain untuk menangani banjir.
Bulan lalu, Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kerajaan sedang memerhatikan usaha mitigasi bagi memastikan tiada peningkatan suhu yang drastik.
Pada masa ini, pelepasan karbon di Malaysia adalah sekitar 316.83 tan metrik, dengan 45.79 tan metrik daripadanya adalah offset.
Justeru, Tuan Ibrahim berkata salah satu matlamat kerajaan adalah menangani baki lebihan pelepasan karbon, menerusi usaha seperti melindungi hutan, menanam pokok dan melindungi terumbu karang.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai