MMA buat tinjauan mengenai kekurangan antibiotik di hospital k’jaan
Seksyen bahagian Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) sedang menjalankan tinjauan dengan meminta doktor kerajaan melaporkan situasi kekurangan antibiotik di hospital masing-masing.
Tinjauan oleh Bahagian Pelatih, Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan (Schomos) itu susulan dakwaan kekurangan antibiotik yang berleluasa di hospital dan klinik kerajaan.
"Memandangkan kekurangan antibiotik di hospital kerajaan, baru-baru ini, tinjauan kami bertujuan untuk menilai bekalan antibiotik dengan harapan mampu mendorong sistem bekalan yang lebih dipercayai dan berterusan untuk memastikan penjagaan pesakit tidak terjejas," kata tinjauan itu dalam talian.
Doktor diminta melaporkan kekurangan bekalan sekalipun ia hanya melibatkan kekurangan satu dos yang ditetapkan.
Pada Julai lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata terdapat kekurangan bekalan ubat-ubatan tertentu di pasaran, termasuk antibiotik, ubat pediatrik dan ubat batuk.
Kekurangan itu antara lain disebabkan oleh gangguan rantaian bekalan, akibat gangguan laluan perkapalan yang dikaitkan dengan Perang Ukraine-Rusia.
Rusia juga adalah pengeksport utama kanji, yang diperlukan untuk mengikat serbuk dalam tablet dan mengawal kelikatan dalam sirap.
Peningkatan kes Covid-19 ketika itu juga mendorong permintaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini untuk ubat-ubatan biasa seperti paracetamol dan vitamin C, menyebabkan kekurangan bekalan, kata MMA pada masa itu.
Kekurangan ketika itu dilaporkan kebanyakannya menjejaskan kemudahan kesihatan swasta, mendorong kementerian mengeluarkan stok ubat persekutuan untuk menampung kekurangan di hospital dan klinik swasta.
Kementerian juga membenarkan kemudahan penjagaan kesihatan swasta meminjam ubatan daripada hospital atau klinik kerajaan dan membenarkan orang ramai membeli ubatan daripada farmasi kerajaan dengan preskripsi dari klinik atau hospital swasta.
Tinjauan awal ke atas 56 doktor di hospital awam dari Disember 2019 hingga Januari 2020 oleh Dr Timothy Cheng mendapati 62 peratus melaporkan kekurangan antibiotik di hospital mereka, lapor laman berita kesihatan CodeBlue.
Antibiotik yang paling kerap dilaporkan kehabisan ialah perencat beta-laktamase seperti sultamicillin, yang digunakan dalam penjagaan pesakit luar untuk jangkitan biasa seperti jangkitan saluran pernafasan, penyakit kelamin dan jangkitan kulit, lapor responden Cheng.
Lebih dua pertiga daripada doktor yang ditinjau berkata kekurangan itu berlaku sekurang-kurangnya sekali setiap dua hingga enam bulan.
Sebanyak 85 peratus berkata ia bukan masalah baharu manakala 80 peratus berkata ia menjejaskan rawatan mereka terhadap pesakit.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai