Skip to main
Logo Malaysiakini

Dakwaan polis terlibat dengan 'troll farm' masih diteliti

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Polis masih menjalankan siasatan terhadap laporan Meta yang mengaitkan polis dengan troll farm yang beroperasi di platform media sosial milik syarikat teknologi antarabangsa itu, Facebook dan Instagram.

Ketua polis negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata pihak polis akan memaklumkan jika sebarang terdapat sebarang maklumat baru.

"Kami menafikan segala dakwaan tersebut. Saya telah mengarahkan pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) untuk meneliti.

"Kita masih jalankan siasatan. 

“Jika ada perkembangan, jabatan JSJK akan bagi respon," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Majlis Pelantikan Duta Anti-Scam JSJK, di Maktab Polis Diraja Malaysia, Cheras hari ini.

Terdahulu, dia diminta mengulas mengenai laporan suku tahun Meta bahawa kira-kira 1,000 akaun Facebook dan Instagram, serta kumpulan dan halaman Facebook diketepikan dari media sosial itu kerana melanggar dasar mengenai tingkah laku tidak sahih yang terancang.

Troll farm merujuk kepada kegiatan untuk membentuk pemikiran politik rakyat agar membuat sesuatu keputusan mengikut perancangan yang mereka mahukan.

Meta mendakwa rangkaian troll farm itu berasal dari Malaysia dan menyasarkan pengguna domestik "untuk merosakkan atau memanipulasi wacana awam dengan menggunakan akaun palsu dan mengelirukan orang ramai tentang siapa di belakang mereka".

Ini termasuk menyiarkan momokan dalam bahasa Melayu "untuk menyokong gabungan kerajaan semasa, dengan dakwaan rasuah dalam kalangan pengkritiknya."