Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis sasar kurangkan kes penipuan dalam talian 10 peratus pada 2023

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Polis menyasarkan dapat mengurangkan kes penipuan dalam talian sebanyak 10 peratus pada tahun depan, kata Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani.

Acryl Sani berkata, untuk itu, polis melantik 104 duta antipenipuan dari kalangan artis, usahawan, agamawan dan atlet yang akan bertindak sebagai jurucakap kempen bagi membanteras jenayah itu.

"Polis sememangnya ada sasaran peratusan kes untuk diturunkan dan kita sasar penurunan sebanyak 10 peratus pada tahun depan yang mana satu perkembangan yang sangat baik.

"Jenayah penipuan ini sukar untuk dicegah dan dibendung tapi boleh dikawal dengan cara memberi pengetahuan kepada masyarakat.

"Sebab itu pada hari ini kita telah melantik 104 individu sebagai duta anti-scam yang akan menggunakan cara dan kaedah tersendiri untuk membawa mesej dan hebahan memberi kesedaran kepada orang ramai bagi mengelak terjerat dalam sangkar penipuan dalam talian," katanya di sidang media di Maktab Polis Diraja di Cheras, hari ini,

Terdahulu, dia menyampaikan watikah pelantikan duta anti-scam kepada 56 individu yang terdiri daripada tokoh sukan, pempengaruh dan selebriti.

Antara yang menerima watikah adalah bekas pemain badminton negara Lee Chong Wei serta pemain badminton Lee Zii Jia dan Aaron Chia.

Acryl Sani juga memberitahu bahawa statistik kes jenayah komersil dan penipuan dalam talian menunjukkan penurunan bagi Januari hingga Ogos 2022, berbanding tempoh sama pada 2021.

"Kes jenayah komersil merekodkan penurunan sebanyak 818 kes (3.7 peratus) manakala trend penurunan juga dilihat pada statistik kes penipuan dalam talian yang menurun sebanyak 92 kes (0.6 peratus).

"Alhamdulillah, penurunan kes yang direkodkan in merupakan bukti kejayaan siri kempen yang dijalankan.

"Insya-Allah kita akan terus melipatgandakan usaha dalam memberi ilmu pengetahuan dan kesedaran masyarakat terhadap jenayah komersil," katanya.