‘Persiapan PM tangani banjir wajar dipuji, tapi tak cukup’
Usaha Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengadakan persiapan awal bagi menghadapi banjir akhir tahun ini wajar dipuji, namun tidak mencukupi, kata ahli Parlimen Klang Charles Santiago.
Menurutnya, ini kerana masih banyak isu berbangkit dalam pertemuan perdana menteri dengan Pasukan Petugas Pengurusan Bencana Persekutuan (JPBP) baru-baru ini untuk menilai tahap penyelarasan dan kesiapsiagaan pengurusan bencana di negara ini.
“Masih kucar-kacir dan nampaknya seluruh jentera kerajaan masih belum bangkit walaupun dilanda banjir besar pada Disember lalu.
"Memang membingungkan, perbincangan (dengan JPBP) nampaknya mengketepikan Selangor, sebaliknya memberi fokus kepada negeri-negeri pantai timur semenanjung dan Sabah, Sarawak," katanya sambil menambah Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengenal pasti 62 kawasan di daerah Klang sebagai titik panas banjir akibat gabungan monsun timur laut dan air pasang besar.
Charles menyatakan bahawa jabatan itu juga meramalkan purata hujan 100mm hingga 400mm di Klang dalam beberapa bulan akan datang, yang boleh menyebabkan banjir besar di daerah itu.
"Oleh itu perbincangan mengenai pengurusan bencana harus memberi tumpuan kepada seluruh negara, dan beberapa lagi strategi mesti dilaksanakan."
Dengan merujuk contoh penduduk Seri Muda di Selangor yang tidak bersedia menghadapi banjir Disember lalu, katanya mereka tidak biasa dengan sistem siren amaran awal.
Oleh itu Charles mencadangkan agar kerajaan menjalankan ujian untuk sistem itu dan latihan banjir bagi memastikan bahawa penduduk mengetahui prosedur pemindahan kecemasan.
"Mereka (penduduk) mesti dimaklumkan mengenai pusat pemindahan terdekat dan talian kecemasan terdekat mereka lebih awal," katanya.
Ahli parlimen DAP itu seterusnya menggesa Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) disusun semula, dan perlu mempertimbangkan penyertaan tentera, tentera laut dan pasukan pertahanan sebagai sebahagian daripada pengurusan bencana kerana mereka mempunyai aset dan peralatan berkaitan yang boleh digerakkan dalam masa yang singkat.
"Kerajaan juga harus menubuhkan skim insurans banjir untuk pendekatan yang lebih holistik terhadap mitigasi bencana, dengan mereka yang berada di kawasan berisiko tinggi, serta isi rumah B40, membayar premium yang rendah untuk perlindungan rumah dan aset mereka.
Walaupun Ismail Sabri "berusaha", namun katanya strategi yang lebih komprehensif perlu dimasukkan bagi memastikan negara cukup bersedia untuk tebatan banjir.
"Saya berharap perdana menteri juga akan memasukkan cadangan dan saranan kami untuk mengurangkan risiko bencana dan kehilangan nyawa serta mata pencarian dengan ketara."
Awal minggu lalu, Charles mencadangkan beberapa penyelesaian banjir jangka pendek dan panjang untuk pertimbangan PM.
Semalam, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata pentadbirannya sedang meneliti kemungkinan mengisytiharkan darurat iklim di negeri itu bagi menangani perubahan cuaca daan banjir kilat.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai