Anak Perak jadi Orang Asli pertama dapat ijazah kelas pertama UCL
Seorang mahasiswa Orang Asli dari suku Semai mencipta sejarah bagi masyarakat itu apabila menamatkan pengajian peringkat Sarjana Muda dengan ijazah kelas pertama di universiti ternama, University College London (UCL).
Menurut Persatuan Mahasiswa Orang Asli (PMOA), Susherrie Suki yang berasal dari Perak menamatkan pengajian Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Hartanah di Bartlett School of Planning UCL.
"Beliau merupakan graduan Orang Asli yang pertama dari Semenanjung Malaysia yang dianugerahkan ijazah kelas pertama dari UCL. UCL merupakan universiti terkemuka di dunia, di mana kedudukan semasa universiti ini adalah di tangga kelapan dunia (QS World University Ranking 2023).
"Sherrie berasal dari Perak, di mana ibu dan bapanya merupakan Orang Asli suku kaum Semai yang berasal dari Kampung Orang Asli Chinggung, Behrang Ulu di Tanjung Malim, dan Kampung Orang Asli Ulu Geruntum di Gopeng.
"Saudari Susherrie Suki kini telahmendapat tawaran untuk melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana (Master) dalam bidang Rekabentuk Bandar dan Perancangan Bandar di universiti yang sama," kata persatuan itu di Twitter.
Pada 2016, Susherrie mendapat keputusan 10A dalam peperiksaan SPM dan diterima melanjutkan pengajian di Kolej Mara Seremban.
Menurut PMOA, Susherri adalah salah seorang pelajar Orang Asli yang menerima biasiswa Mara di bawah Program Pembangunan Bakat Muda susulan keputusan cemerlangnya dalam SPM.
Selain bidang akademik, dia juga aktif dalam kegiatan di dalam dan di luar kampus, termasuk menjadi anggota Royal Town Planning Institute, ketua biro publisiti Bartlett Urban Planning Society dan ketua biro dalam UCL Malaysia Society.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai