Skip to main
Logo Malaysiakini

PULASAN | Maju walau tidak bergerak-gerak

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PULASAN | Barangkali tidak ramai yang menyangka seorang menteri kerajaan Keluarga Malaysia masih ada kesempatan menyampaikan berita gembira kepada rakyat jelata di tengah keserabutan otak yang melanda.

Dan orang itu ialah salah seorang menteri kanan yang kita ada, iaitu Radzi Jidin.

Tidak lagi menunggu hari Rabu seperti yang pernah berlaku suatu ketika dulu, Radzi dilaporkan berkata, dunia pendidikan di negara ini berada dalam zon selesa yang melampau.

Maksudnya, kita berasa sangat selesa dalam bidang pendidikan ketika sebenarnya dunia sudah jauh meninggalkan kita di depan.

"Ada yang cakap sistem pendidikan Malaysia terkebelakang. Saya cakap tidak. Kita cuma tidak bergerak.

"Anda semua adalah produk sistem pendidikan tempatan. Kita tidak ada masalah, cuma kita tidak bergerak selaju negara lain.

"Negara lain di rantau ini buat perubahan dalam dasar pendidikan mereka, mereka 'potong' kita tetapi kita stagnant (bertakung) kerana kita takut pada perubahan," katanya dipetik Astro Awani pada Sabtu.

Pedulilah apa pun yang dilakukan Radzi sebelum ini, tetapi - dengan jujur dan ikhlas sepenuh hati - saya berasa sangat gembira dengan kenyataan orang kuat Bersatu itu.

Dengan pengakuan Radzi, mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan separuh daripada masalah dunia pendidikan kita berpotensi untuk ditangani dengan betul. Selama ini kita bukan saja lemau berada dalam zon selesa, bahkan kita selesa untuk hidup dalam penafian yang tidak berkesudahan.

Terima kasih sebanyaknya kepada menteri pendidikan.

Masih selesa bermimpi

Cuma masalah tidak berakhir di situ. Malah - malangnya - ia mungkin menjadikan ketakutan kita lebih besar. Hal itu kerana pendidikan bukanlah satu-satunya bidang yang sedang 'bertakung' serta 'bergenang' di negara ini.

Suatu ketika dulu Malaysia ini pernah gah di celah-celah negara serantau. Dengan ekonominya yang mantap dan nilai mata wang yang menggiurkan sehingga bukanlah asing apabila rakyat negara ini berebut-rebut melewati Tambak Johor ke sebuah negara republik yang kecil di selatan sana untuk berbelanja.

Ketika itu mata wang ringgit berada jauh di atas nilai dolar Singapura.

Dalam bidang sukan, Malaysia adalah lawan yang digeruni oleh negara seperti Jepun, Korea Selatan dan China. Pestabola Merdeka yang gelanggang berprestij untuk menjadi medan laga skuad Malaysia dengan negara dari timur jauh itu.

Adat bersukan - ada masanya kita terkulai, tetapi pada ketika yang lain kita menjadi ayam jaguh yang megah.

Skuad bola sepak negara juga pernah layak menyertai Olimpik. Bukan sekali tapi dua!

Di Munich 1972, skuad kebangsaan menundukkan AS 3-0. Dalam perlawanan seterusnya kita memang kalah tetapi ia adalah kalah yang bermaruah kerana skuad itu ialah Jerman Barat, diikuti Maghribi.

Bagaimana skuad bola sepak boleh sampai ke Munich? Bolehlah dikatakan mereka ke sana dengan meniti dan mematahkan tulang belakang pasukan Korea Selatan dan Jepun.

Lapan tahun kemudian skuad bola sepak kebangsaan sekali lagi layak ke Olimpik. Namun pada akhirnya tidak ada mana-mana pemain yang menjejakkan kaki ke Moscow ekoran keputusan kerajaan memboikot sukan tersebut.

Dan lihatlah sekarang. Kita masih selesa bermimpi tentang hampir apa saja, termasuk ke Olimpik itu. Apabila kita membuka mata dan berehat seketika daripada mimpi tersebut, kita pun menarik nafas dalam-dalam.

Menteri tertawakan kita

Kemudian kita bernostalgia sehingga meleleh air liur mengenangkan kejayaan silam.

Pada masa sama, skuad bola sepak Korea Selatan, Jepun dan China bukan lagi asing dalam aksi di pentas Piala Dunia. Mereka jauh ada di depan kita.

Begitulah, nasib kita ini sekadar - bak kata Radzi - bergenang dan bertakung di tempat yang sama berpuluh-puluh tahun lamanya.

Sementara itu amalan demokrasi juga tidak kurang hebatnya. Sebuah negara demi sebuah negara bergerak jauh ke depan ketika kita masih selesa berada pada zon murba.

Ada antara negara terbabit pernah kita ketawakan demokrasi mereka. Kita memandang negara jiran dengan menjuih dan melihat mereka dengan lekeh sambil mendepang dada kerana demokrasi di negara ini sangat hebat.

Beberapa tahun kemudian, kita masih berbangga apabila demokrasi di negara ini masih tidak mampu menjadikan mana-mana kerajaan cukup jantan untuk menetapkan tarikh pembubaran parlimen lebih awal walaupun tiga hari.

Di sesetengah negara, tarikh pilihan raya diumumkan bukan sekadar seminggu lebih cepat, malah berbulan-bulan.

Usahlah kita berasa hairan dan takjub kerana demokrasi serta pilihan raya umum di negara kita ialah sebuah acara untuk kerajaan mengejutkan rakyatnya sendiri.

Dan kita boleh membayangkan para menteri mentertawakan kita dengan penuh nikmat.

Sekali lagi, kita melihat nasib negara ini tidak terkebelakang, tetapi hanya bergenang dan bertakung.

Oh ya, selain itu, politik kita masih ada yang maju. Amalan melompat parti adalah antara bidang yang menunjukkan kemajuan sangat pesat. Juga kemaruk sesetengah ahli politik mahu menjadi pelakon, atau menggelejat di media sosial juga.

Indahnya politik negara kita apabila seorang demi seorang ahli politiknya mahu menjadi selebriti ketika di negara lain, seorang demi seorang selebriti menjadi ahli politik.

Pemikiran sempit

Untuk berlaku adil, memanglah tidak semua negara sedang bergerak menjauh dari kita dalam segenap bidang. Sesetengahnya masih tabah untuk melangkah perlahan-lahan seperti kita.

Di Filipina contohnya pilihan raya umum di negara itu menyaksikan seorang ahli politik yang dilahirkan dari rahim bekas FLOF (First Lady of the Philippines), Imelda Marcos, kini sedang menjadi presiden.

FLOF itu sendiri sebelum ini pernah berdepan dengan isu undang-undang semasa Filipina ditadbir oleh presiden lain. Namun nampaknya dengan naiknya si Bongbong Marcos itu sebagai presiden, nasib ibunya sedang membaik.

Jika pun tidak bersinar terang-benderang, sekurang-kurangnya si ibu tidak lagi mengalami kemurungan kerana perlu naik turun mahkamah.

Satu lagi bidang yang berkembang maju serta menjadikan negara ini unik ialah membiaknya pemikiran sempit khususnya dalam media sosial.

Tidak ketinggalan, keghairahan pihak tertentu untuk menjadi 'hantu belaan' bagi mempengaruhi pemikiran orang ramai agar bersetuju dengan apa saja yang disuapkan mereka.

Sesetengah daripada mereka mungkin akan memunculkan diri dalam ruangan komen di bawah tulisan ini.

Kerana itu kita masih dapat melihat bagaimana seorang banduan bersungguh-sungguh mahu disakralkan, atau seorang agamawan terkenal tetap tekal bercerita tentang kisah karut-marut.

Itu belum lagi diambil kira agamawan yang gemar bercakap mengikut sedapnya lidah masing-masing. Dia menghukum sesiapa saja yang tidak sehaluan dengannya, dan menyucikan pihak yang sealiran dengannya.

Dengan hormat, diharap Radzi boleh mencari jalan untuk membawa dunia pendidikan negara keluar dari kegelapan yang kita sangka zon selesa itu. Sudah tentu ia tidak mudah kerana kekangan akan datang dari segenap arah, termasuk dalam kalangan ibu bapa yang sudah selesa dengan proses mengembiri pemikiran secara sistematik sejak sekian lama.

Demikianlah kita. Cakap dan buatlah apa saja, kita akan kekal selesa berada di belakang orang lain. Dan kita gigih meyakinkan diri sendiri bahawa kita sedang hidup dengan penuh bermaruah.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang kian rimas apabila dipaksa menjadi hamba abdi pelbagai aplikasi korporat.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.