Skip to main
Logo Malaysiakini

TYT Pulau Pinang tarik balik darjah kebesaran Najib

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Ahmad Fuzi Abdul Razak telah menarik balik darjah kebesaran negeri, keahlian Darjah Utama Pangkuan Negeri (DUPN) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama yang dianugerahkan kepada Najib Razak pada tahun 2009.

Menurut Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) merangkap pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Mohd Zakuan Zakaria, pembatalan dan pemansuhan itu adalah selaras dengan kuasa yang diberikan kepada Yang di-Pertua Negeri.

Ini adalah menurut Perkara 6 dan 8 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang serta Peraturan 18 Statut Darjah Pangkuan Negeri 2011.

“Berdasarkan sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap beliau, keahlian beliau (Najib) sebagai penyandang Darjah Utama Pangkuan Negeri (DUPN) yang membawa gelaran Dato’ Seri Utama adalah dibatalkan dan dimansuhkan berkuat kuasa pada 15 September,” katanya.

Najib juga telah dilucutkan gelarannya di Selangor dan Negeri Sembilan sebelum ini.

Bagaimanapun, dia masih mempunyai banyak gelaran Datuk Seri dari negeri lain.

Najib mempunyai darjah kebesaran dari Pahang, Perak, Melaka, Kedah, Perlis, Sabah dan Sarawak.

Bekas perdana menteri itu sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun, selepas Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos menolak rayuannya terhadap sabitan SRC International atas tujuh pertuduhan jenayah, serta hukuman penjara dan denda RM210 juta sebagai ganti tambahan lima tahun penjara.