Skip to main
Logo Malaysiakini

PANDUANKINI | Kenapa perlu isytihar darurat iklim?

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PANDUANKINI | Minggu ini, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata mengambil kira kesan perubahan iklim maka kerajaan negeri sedang mempertimbangkan untuk mengisytiharkan darurat iklim negeri itu.

Dia berkata Selangor pada 2019 telah menjalankan kajian mengenai kesan perubahan iklim di negeri itu.

Kajian itu akan disiapkan tahun depan, dan data akan diambil kira oleh negeri sama ada darurat iklim akan diisytiharkan atau tidak, katanya.

Jika darurat iklim diisytiharkan, Selangor akan menjadi kerajaan pertama di Malaysia yang membuat pengumuman sedemikian.

Panduankini akan menyorot persoalan apa itu darurat iklim, apakah maksud kerajaan mengisytiharkan darurat iklim dan mengapa ia penting.

Apa itu darurat iklim?

Pada 2019, Kamus Oxford mengisytiharkan "darurat iklim" sebagai Word Of The Year kerana lonjakan penggunaannya sebanyak 10,000 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Kamus itu mentakrifkannya sebagai "keadaan yang memerlukan tindakan segera untuk mengurangkan atau menghentikan perubahan iklim dan mengelakkan kerosakan alam sekitar yang berpotensi tidak dapat dipulihkan akibat daripadanya".

Darurat iklim menerima penyelidikan saintifik bahawa pemanasan pantas suhu bumi merupakan satu hal yang nyata berpunca akibat aktiviti manusia serta mempunyai kesan yang teruk terhadap kehidupan manusia dan kepelbagaian biologi.

Apakah perisytiharan darurat iklim dan mengapa ia penting?

Pengisytiharan sedemikian pada peringkat kerajaan tempatan atau negara akan menetapkan keutamaan untuk mengurangkan dan menyesuaikan diri dengan perubahan iklim, sekali gus membentuk serta melaksanakan dasar dan memperuntukkan dana bagi tujuan tersebut.

Oleh itu, mereka yang mendesak perisytiharan darurat iklim percaya bahawa perisytiharan sedemikian boleh memfokuskan tindakan kerajaan terhadap perubahan iklim.

Siapa yang sudah isytihar darurat iklim?

Pada 2016, Majlis Darebin di Melbourne, Australia menjadi kerajaan pertama yang mengisytiharkan darurat iklim, berikutan usaha berterusan oleh gerakan akar umbi menggesa tindakan iklim.

Pada April 2019, kerajaan Wales menjadi kerajaan negara pertama yang membuat pengisytiharan sedemikian, dengan Parlimennya menjadi yang pertama meluluskan pengisytiharan darurat iklim pada bulan berikutnya.

Sejak itu, lebih 2,100 kerajaan tempatan di 39 negara telah membuat pengisytiharan sedemikian, melibatkan lebih daripada satu bilion penduduk dunia.

Kebanyakan kerajaan yang telah mengisytiharkan darurat iklim tergolong negara maju di barat.

Di Asia, kerajaan yang telah membuat pengisytiharan sedemikian ialah kerajaan Jepun, Korea Selatan, Singapura dan Bangladesh.

Pengisytiharan tidak perlu menggunakan istilah yang sama. Di Bangladesh, sebagai contoh, istilah yang digunakan dalam pengisytiharan oleh Parlimen pada 2019 ialah "Darurat Planet".

Pada Februari tahun lalu, Parlimen Singapura meluluskan deklarasi: "Bahawa Dewan ini mengakui bahawa perubahan iklim adalah darurat sejagat dan ancaman kepada manusia."

Apa tindakan bila isytihar darurat iklim?

Pelbagai negara yang telah mengisytiharkan darurat iklim telah membuat langkah susulan dengan dasar khusus untuk memerangi perubahan iklim atau menyesuaikan diri dengan kesannya.

Sebagai contoh, di New Zealand tahun ini, kerajaan memperuntukkan NZ$2.9 bilion (RM7.8 bilion) kepada Dana Tindak Balas Darurat Iklim.

Dana itu diperuntukkan untuk langkah-langkah termasuk mengurangkan pelepasan karbon oleh industri, membiayai pelupusan kenderaan dan menyediakan skim untuk rakyat berpendapatan rendah serta subsidi untuk menggalakkan penggunaan teknologi pertanian yang lebih hijau.

Darurat iklim juga diterjemahkan kepada peralihan dasar dalam pelbagai bahagian sektor awam, seperti di Wales, apabila Perkhidmatan Kesihatan Negara melancarkan pelan penyahkarbonan, yang termasuk cara mengurangkan sisa plastik dalam sektor penjagaan kesihatan.

Bagaimana jika Malaysia isytihar darurat iklim?

Pada bulan Mac, kumpulan advokasi Gabungan Darurat Iklim Malaysia menghantar surat kepada kerajaan persekutuan, menuntut supaya darurat iklim diisytiharkan selewat-lewatnya esok (16 Sept) dan menggariskan bagaimana ia sepatutnya dilaksanakan di Malaysia.

Antara lain, gabungan itu menuntut pengisytiharan berkenaan perlu disertakan dengan rancangan yang jelas tentang cara memantau dan mengurangkan pelepasan karbon, membina daya tahan masyarakat dan mengutamakan perlindungan alam sekitar di semua peringkat kerajaan.

Ia juga harus merangkumi langkah mitigasi dan penyesuaian bagi setiap kementerian, yang digariskan dalam belanjawan persekutuan, selain melindungi daripada aktiviti acah-acah hijau dan mesra alam (greenwashing - meneruskan kegiatan pelepasan karbon, pencemaran dengan mendanai projek hijau).

"Deklarasi Darurat Iklim mesti menuntut komitmen mutlak terhadap tindakan iklim oleh Pejabat Perdana Menteri, menjadikan sasaran mitigasi dan penyesuaian/ daya tahan suatu yang wajib dilakukan, dengan semakan dwitahunan dan kemas kini rancangan dibuat setiap tiga hingga lima tahun, diterajui/ dilaksanakan oleh kementerian yang bertanggungjawab tindakan iklim.

"Ini akan memerlukan institusi undang-undang dan protokol dengan peraturan penguatkuasaan yang ketat, serta pematuhan dengan perjanjian antarabangsa berkaitan yang menyokong prinsip planet dan manusia didahulukan," kata gabungan itu dalam surat berkenaan.

Adakah kerajaan persekutuan akan isytihar darurat iklim?

Tidak. Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kerajaan percaya ia sudah mengambil langkah untuk mengurangkan dan menyesuaikan diri dengan perubahan iklim, tanpa memerlukan pengisytiharan darurat iklim.

Sebagai contoh, katanya, kerajaan telah memperuntukkan dana berbilion ringgit untuk projek tebatan banjir di seluruh negara dan komited terhadap langkah mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, untuk mencapai sifar bersih menjelang 2050.

Sifar bersih bermakna mengurangkan pelepasan gas rumah hijau kepada sehampir sifar yang mungkin, dengan bakinya diserap semula dari atmosfera oleh hutan atau lautan.

Tuan Ibrahim berkata negara sudah mempunyai jawatankuasa peringkat tertinggi mengenai perubahan iklim yang dipengerusikan oleh perdana menteri dan kerajaan sedang merangka Rang Undang-undang Perubahan Iklim dan Pelan Adaptasi Perubahan Iklim Kebangsaan.

Bolehkah Selangor isytihar darurat iklim walaupun kerajaan pusat tidak buat?

Ya, di banyak negara, majlis tempatan dan kerajaan negeri telah mengisytiharkan darurat iklim dalam bidang kuasa tempatan mereka, tanpa perlu menunggu tindakan persekutuan.

Di AS, 24 bandar dan satu negeri telah mengisytiharkan darurat iklim, tetapi Julai lalu, Presiden AS Joe Biden tidak membuat pengisytiharan yang sama untuk Amerika Syarikat, walaupun berkata perubahan iklim adalah ancaman kepada kewujudan manusia.

Selangor juga mungkin mahu mengisytiharkan darurat iklim memandangkan kesannya sudah dirasai di banyak bahagian di negeri itu, termasuk penempatan pantainya yang terjejas teruk akibat kenaikan paras laut yang didorong oleh perubahan iklim.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago, yang kawasannya antara paling teruk terjejas di negeri itu, percaya pengisytiharan sedemikian boleh membolehkan Selangor memperuntukkan lebih banyak pembiayaan untuk membuat lebih banyak perubahan sistemik supaya menyesuaikan diri dengan perubahan iklim.

Dari mana duit nak tangani perubahan iklim?

Saiz dana yang diperuntukkan untuk tindak balas darurat iklim di negara-negara yang telah mengisytiharkannya menunjukkan banyak wang diperlukan.

Para pemimpin Malaysia meyakini negara tidak memiliki kemampuan kewangan untuk menanggung langkah menangani dan menyesuaikan diri dengan darurat iklim.

Bagaimanapun, ramai juga pihak menyoal mengapa Malaysia tidak boleh mendapat pembiayaan yang diperuntukkan oleh negara maju untuk negara membangun sebagai sebahagian daripada pelbagai perjanjian antarabangsa mengenai perubahan iklim.

Sebagai contoh, sebanyak AS$10.8 bilion (RM48.8 bilion) telah dikumpul Dana Iklim Hijau, hasil daripada Perjanjian Paris. Ia dana iklim terbesar di dunia dan diberi mandat untuk membantu negara membangun menangani perubahan iklim.

Antara lain, Global Environment Facility (GEF) telah menyediakan AS$33.9 juta (RM180 juta) kepada Thailand untuk menambah baik pengurusan air dalam pertanian di lembangan Chao Phraya, manakala Indonesia menerima AS$103.8 juta (RM469.8 juta) untuk pengurusan hutan.

Malaysia juga telah menerima sedikit pembiayaan daripada GEF, dalam projek berbilang negara, untuk menyokong pelaburan pelepasan karbon rendah.

Pembiayaan juga bukan sahaja untuk kerajaan persekutuan.

Pada 2020, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan unit pembangunan bandar Khazanah Nasional Think City menerima AS$10 juta (RM45.2 juta) daripada dana lain - Dana Penyesuaian Bank Dunia - untuk projek mengurus cuaca panas dan banjir di pulau itu. .

[Baca laporan asal]