Idris sepatutnya akui kelemahan diri, kata Tengku Zulpuri
Sebagai menteri yang menjaga hal ehwal Islam, kata DAP, Naib Presiden PAS Idris Ahmad tidak boleh menangani sesuatu isu yang melibatkan kepentingan ramai sama seperti dia menyampaikan ceramah politik.
Timbalan Setiausaha Agung DAP, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, berkata Idris wajar menunjukkan sikap yang lebih profesional dan empati dengan isu seperti gangguan seksual.
"Idris boleh menangani kes berkenaan secara berhemah dan pada masa yang sama menasihati mangsa agar tidak mensensasikan kes berkenaan.
"Dia juga boleh menasihatkan seluruh masyarakat agar membuat laporan polis atau pihak yang berkenaan jika kes seumpama ini berlaku," katanya.
Tambah ahli parlimen Raub itu lagi, Islam merupakan suatu agama yang mengutamakan nasihat, bukannya hukuman semata-mata.
Nasihat yang mahu disampaikan pula, katanya, mesti dilakukan secara bijaksana dan sesuai dengan keadan semasa.
"Kalau tersilap langkah, akan timbul salah faham terhadap ajaran Islam," katanya.
Semalam Malaysiakini memetik kenyataan Idris yang menganggap pemimpin DAP cuba memainkan sentimen perkauman kerana mengkritiknya dalam isu seorang pelakon remaja mendakwa dia dicabul bapa sendiri.
Kata Idris, apa yang dinyatakannya semasa menjawab soalan wartawan beberapa hari sebelum itu hanyalah menggunakan ilmu dan hujah agama untuk memandu rakyat berhubung pertimbangan dosa dan pahala demi kemaslahatan umat Islam.
Dalam hantarannya di media sosial, Idris juga memuat naik kenyataan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, mengenai prestasi tiga menteri dari PAS yang dianggap seorang bekas pensyarah sebagai gagal memberikan khidmat seperti diharapkan.
Mendahului senarai itu ialah Idris.
Rakyat yang menilai
Kata Tengku Zulpuri semasa memelihara kemaslahatan orang ramai, Islam tidak menggariskan hanya satu tindakan saja yang boleh diambil sebaliknya ada pelbagai kaedah boleh dilakukan secara serentak.
Langkah tersebut, katanya, perlu dilakukan dengan berhemah dan bijaksana.
"Apabila netizen melihat Idris seolah-olah membela pelaku serangan seksual berbanding mangsa, dia melenting, tapi adakah dia sedar, sebagai menteri agama, pemimpin PAS itu tidak boleh mendoktrinkan masyarakat seperti memberi ceramah PAS.
"Kalau ceramah PAS, lainlah. Memang dia sahaja betul, orang lain hanya kena ikut," katanya.
Tambah Tengku Zulpuri, masyarakat di negara ini terdiri daripada pelbagai agama dan latar belakang kepercayaan, serta tingkat pemahaman berbeza.
Sebab itu, katanya, pendekatan Idris dalam isu tersebut perlu berhikmah.
"Yang menilai prestasi dan tindak tanduk menteri agama ini bukannya Pakatan Harapan, tapi masyarakat awam.
"Suka atau tidak, Idris perlu mengakui kelemahan tersebut," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai