Skip to main
Logo Malaysiakini

Exco Kelantan berjersi jenama bir: Kesian dia, kata pemimpin Amanah

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Seorang pemimpin Amanah Kelantan mengesyaki, exco negeri itu tidak mengetahui atau menyangka jenama Chang pada baju yang dipakainya merupakan produk arak dari Thailand.

Kata Che Ibrahim Mohamed dia sebenarnya berasa simpati terhadap Exco Belia, Sukan dan NGO Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat, ketika berkunjung ke stadium sebuah kelab di negara jiran berkenaan.

“Kesian pada dia… dia tak tahu tu. Dia tak tahu pun Chang tu arak.

"Saya kenallah, dia kawan saya dulu. Saya yakin dia tak kenal, tak tahu pun Chang tu arak,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Terdahulu tular di media sosial dua keping gambar dimuat naik di Facebook Kelantan United Football Club (KUFB) pada 6 Sept lalu memaparkan Wan Roslan berkunjung ke kelab bola sepak profesional Thailand, Buriram United.

Pada gambar berkenaan kelihatan Wan Roslan serta beberapa individu lain, yang memakai jersi berwarna biru muda dengan logo jenama bir terkenal Thailand itu.

Bagaimanapun semakan Malaysiakini mendapati hantaran tersebut tidak lagi kelihatan pada Facebook KUFC.

‘Orang bagi, kita pakai’

Kata Che Ibrahim, biasanya PAS sangat sensitif dengan sesuatu yang ada kaitan dengan arak dan mereka tidak boleh bertolak ansur dengannya walapun sedikit.

“Pernah dulu penyokong-penyokong PAS yang fanatik mempertikaikan pasukan Liverpool sebab kelab itu pakai jersi ditaja Carlsberg. Jadi, mereka pertikaikan.

“Jadi benda ni nampaknya sekarang terkena PAS sendirilah,” katanya ketika diminta mengulas lanjut mengenai hantarannya itu.

Ditanya sama ada Wan Roslan wajar membuat permohonan maaf dan menjelaskan situasi sebenar, Che Ibrahim berkata, itu adalah perkara yang terbaik sepatutnya dilakukan Adun Pengkalan Kubur itu.

“Betullah, sepatutnya dia kena buat permohonan maaf secara terbuka, bahawa dia mengaku ada yang tak tahu Chang tu arak,” katanya.

Sementara itu, bercakap kepada Malaysiakini, Wan Roslan mengakui bahawa kejadian itu merupakan salah faham.

“Cerita pakai baju ni… orang bagi, kita pakailah,” jawabnya ringkas.

Ditanya sama ada akan terdapat sebarang permohonan maaf atau penjelasan berhubung isu itu, Wan Roslan sebaliknya berkata dia kini berada di Madinah, Arab Saudi.

Bekas setiausaha politik Menteri Besar Kelantan itu kemudian meminta agar isu tersebut dirujuk kepada KUFC.