Skip to main
Logo Malaysiakini

Lepas 5 hari jalan kaki, memo akhirnya sampai ke Putrajaya

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Setelah lima hari berjalan kaki dari Ipoh ke Putrajaya, sekumpulan bekas tentera hari ini menyampaikan memorandum tuntutan mereka kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Disertai kira-kira 100 lagi bekas tentera yang menunggu mereka di bangunan Jabatan Perdana Menteri, memorandum itu diserahkan kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Syed Mohd Fazmi Sayid Mohammad.

Ia disampaikan oleh Presiden Pertubuhan Suara Patriotik Rakyat Malaysia (PSPRM), Mior Rosli Mior Mohd Jaafar.

Mereka antaranya menuntut supaya semua bekas tentera yang berkhidmat dalam jangka masa minimum, termasuk yang didakwa dan dihukum semasa perkhidmatan, diterima secara automatik sebagai veteran.

Mereka juga mahu golongan ini mendapat bantuan dan kebajikan seperti veteran lain.

“Kita tak minta duit kerajaan. 

“Duit pencen ini adalah duit kita yang dipotong daripada lembaga tabung ke dalam KWAP(Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan),” katanya ketika berucap.

Selain itu mereka juga menuntut supaya kerajaan mengkaji semula pencen hilang upaya terhadap veteran yang cedera perang dan semasa bertugas.

“Masalahnya pencen hilang upaya ini kali terakhir dikaji tahun 2000.

“Ada yang saya jumpa kaki palsu dia rosak, lima tahun sekali baru boleh dapat duit,” kata bekas tentera udara itu.