Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | 'Kafirkan PH' - adakah PAS berkuasa tentukan akidah?

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Adakah PAS berhasrat bawa Malaysia menuju ke arah sistem Taliban di luar peraturan undang undang dan perlembagaan?

Kenyataan Abdul Hadi Awang yang menuduh Pakatan Harapan (PH) kumpulan "tidak beriman dan tidak bermoral" telah terkeluar dari kategori serangan politik tetapi lebih melibatkan soal menyoal akidah melibatkan mereka di dalam Pakatan Harapan.

Apabila keimanan seseorang di persoalkan, ia melibatkan menyoal akidah seseorang seperti amanat Haji Hadi di Banggol Peradong, Terengganu pada tahun 1980an yang memulakan tuduhan kafir mengkafir yang di tujukan kepada golongan Umno.

Tuduhan tersebut telah menyebabkan perpecahan dasyat dalam kalangan orang Islam khususnya di Terengganu dan Kelantan.

Ironinya, kini ia berlaku lagi semasa beliau sendiri menyeru untuk kononnya menyatu padukan orang Melayu dan Islam tetapi perbuatannya menjurus lebih kepada perpecahan sekali lagi dengan menyoal akidah pihak lain.

Pada tahun 80an, isu kafir mengkafir dilempar terhadap Umno yang menyebabkan peristiwa sembahyang dua iman, haram memakan daging sembelihan orang Umno dan tidak sah pernikahan oleh kadi bukan ahli PAS.

Empat puluh tahun kemudian selepas amanat Haji Hadi tersebut, keimanan mereka di dalam PH pula dipersoalkan tanpa asas atau apa apa bukti.

Adakah mereka yang lain daripada ahli PAS boleh dipersoalkan akidah mereka begitu sahaja tanpa usul periksa siasatan?

Kenapakah amanat Haji Hadi dalam isu kafir mengkafir yang telah dikategorikan ajaran sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia dalam portal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), telah dipadamkan sebaik sahaja PAS menjadi sebahagian dari kerajaan?

Adakah ini untuk memadam kesalahan lama yang kini diulangi sekali lagi?

Perkara ini telah pun di bawa kepada Mesyuarat Majlis Raja Raja Melayu dan adakah Jakim boleh sewenang wenangnya memadamkannya fatwa Haji Hadi begitu sahaja?

Menteri Agama daripada PAS Idris Ahmad dan Pengarah Yadim Nasaruddin Hassan Tantawi yang juga dari PAS perlu menjawab isu ini .

Adakah presiden PAS berkuasa mengkafirkan ahli Umno dahulu dan ianya boleh dipadamkan dari portal JAKIM dan kini berulang lagi mempersoalkan keimanan orang Islam dalam PH pula?

Saya dengan segala hormat dan sembah takzim memohon Majlis Raja Raja Melayu memandang berat isu ini dimana seolah olah presiden PAS dan menteri-menterinya berlagak mempunyai kuasa mutlak menentukan akidah sesama Islam dan membelakangkan Raja Raja Melayu yang merupakan ketua Agama Islam.

Masjid dan surau yang dimuliakan di gunakan untuk menyebar fitnah sesama Islam oleh pimpinan kanan PAS termasuk kes mahkamah Ahmad Dusuki Abdul Rani (gambar, bawah) yang kalah kes fitnah Mujahid Yusof Rawa tentang tuduhan kononnya telah menjual harta Tabung Haji kepada bukan Islam.

Ramai pimpinan PAS lain telah mengunakan institisi masjid dan surau untuk memfitnah sesama Islam dan telah dihukum denda oleh mahkamah kerana menfitnah.

Dalam masa membuat tuduhan tidak berasas PH kononnya mencabar kedudukan Raja Raja Melayu, PAS sebenarnya yang berlagak mereka lebih berkuasa dari Raja Raja Melayu dan Jabatan Agama Islam untuk menentukan ketetapan hukum berkaitan akidah seseorang tanpa siasatan atau perbicaraan .

Di hari Malaysia ini adakah PAS berhasrat membawa Malaysia menuju kea rah sistem Taliban di luar peraturan undang undang dan perlembagaan ?

PAS tidak boleh di benarkan sewenang wenangnya berlagak diri mempunyai kuasa menentu dalam isu agama tanpa melalui proses perundangan Islam dan cuba mengatasi peranan dan kuasa Raja Raja Melayu sebagai ketua agama Islam menjatuh hukuman atas isu keimanan seseorang atau mengkafirkan seorang Islam mengikut nafsu hati mereka.


RAJA BAHRIN SHAH ialah Pengerusi PH dan Amanah Terengganu.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.