Skip to main
Logo Malaysiakini

Tiada halangan Putrajaya nak bagi 35% kerusi parlimen pada Sabah, S'wak - Lim

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Tidak ada perkara yang dapat menyekat Putrajaya daripada meminda undang-undang sedia ada untuk memperuntukkan 35 peratus kerusi parlimen untuk Sabah dan Sarawak, kata pengerusi DAP Lim Guan Eng.

Lim berkata Perlembagaan Persekutuan boleh dipinda tidak lama lagi tetapi hanya dikuatkuasakan kemudian.

"Cadangan ini bukan kontroversi mahupun menjadi pertikaian kerana setakat ini tiada parti politik yang berani menentang penambahan bilangan kerusi parlimen di Sabah dan Sarawak daripada 25 peratus sekarang kepada 35 peratus," kata Lim pada satu kenyataan hari ini.

Lim mengulas penjelasan Menteri Undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar bahawa cadangan menambah bahagian kerusi parlimen Sabah dan Sarawak tidak dapat dilaksanakan sebelum pilihan raya umum akan datang.

Wan Junaidi berkata perkara itu masih di peringkat cadangan buat masa ini. Syor itu dipersetujui Mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Majlis itu mencadangkan 35 peratus kerusi parlimen diperuntukkan kepada Sabah dan Sarawak untuk mencerminkan pengagihan yang serupa ketika pembentukan Malaysia pada 1963.

Endorsmen oleh MKMA63 itu bakal membolehkan Sabah dan Sarawak memiliki 78 daripada 222 kerusi.

Pada 1963, Sabah memiliki 16 kerusi, Sarawak (24) dan Singapura (15) iaitu mewakili 35 peratus daripada keseluruhan 159 kerusi parlimen manakala baki 65 peratus atau 104 kerusi adalah milik Semenanjung Tanah Melayu.

Sementara itu, Wan Junaidi menjelaskan pelbagai proses perundingan perlu dilakukan sebelum kabinet boleh memutuskan tindakan seterusnya.

Sarawak dan Sabah dijangka akan membuat persempadanan semula kawasan pilihan raya mereka pada 2023 dan 2025.

Bagi Semenanjung Malaysia, persempadanan semula hanya boleh dijalankan pada 2026.