Skip to main
Logo Malaysiakini

Tarikh LCS dihantar: Syed Saddiq lebih percaya panglima angkatan tentera

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggesa pihak berkuasa menyatakan secara jelas bilakah kapal tempur pesisir (LCS) akan disiapkan.

Syed Saddiq berkata, penjelasan itu perlu susulan kenyataan bercanggah berkenaan perkara itu oleh Panglima Angkatan Tentera Affendi Buang dan Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein.

"Dalam bab ini, saya percaya kata-kata panglima angkatan tentera kerana sebelum ini, sejarah menunjukkan panglima tegur menteri dan perdana menteri berkali-kali," katanya dalam video yang dimuat naik di Facebook, semalam.

Dalam wawancara bersama beberapa organisasi berita pada Selasa lalu, Affendi menyatakan lima kapal LCS pertama masing-masing akan dihantar pada Januari 2026, September 2026, Mei 2027, Januari 2028 dan September 2028.

Bagaimanapun, beberapa organisasi berita utama menarik semula laporan versi dalam talian mereka berhubung wawancara dengan Affendi.

Pada Rabu lalu pula, Hishammuddin memberitahu pemberita bahawa garis masa penghantaran LCS yang dinyatakannya di Parlimen pada bulan lalu masih tidak berubah.

Pada Ogos, dia memberitahu Dewan Rakyat bahawa kapal LCS pertama akan dihantar dalam tempoh dua tahun.

Ketika laporan ini ditulis, angkatan tentera belum mengeluarkan sebarang pembetulan berhubung tarikh yang disebut Affendi.

Sementara itu, Syed Saddiq berkata dengan mengandaikan kapal LCS memang akan dihantar pada 2026, dia menggesa kerajaan jika teknologi kapal itu akan sudah ketinggalan zaman pada masa itu, memandangkan sudah 15 tahun berlalu sejak projek itu dimulakan.