Amanah nasihat Hadi: Manfaat hujung usia dengan peninggalan lebih baik
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dinasihatkan supaya memanfaatkan usia tuanya dengan memberikan peninggalan yang lebih baik kepada generasi akan datang dan bukannya dengan dakyah politik kebencian.
Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar berkata ini kerana dakyah sedemikian rupa hanya akan menghancurkan negara selain merobek keharmoian yang dikecapi selama ini.
"Saya nasihatkan ustaz Hadi Awang supaya dia beringat, di hujung-hujung usia ini dia harus memberikan peninggalan yang lebih baik untuk generasi kita yang akan datang dan bukan dengan politik-politik kebencian yang boleh merobek dan meruntuhkan negara kita.
"Kerana, bagi saya kenyataan (Abdul Hadi) itu yang sangat tidak baik untuk masa depan negara kerana ia akan menimbulkan kebencian dan permusuhan," katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Pemuda Amanah di Seremban, hari ini.
Mahfuz (gambar, atas) dipercayai mengulas dakwaan Abdul Hadi semalam bahawa ramai dikalangan pimpinan PH 'tidak beriman dan tidak bermoral'.
Semalam, Abdul Hadi yang juga ahli parlimen Marang sekali lagi menegaskan parti Islam itu tidak akan membentuk kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) termasuk menerusi pendekatan khemah besar dalam pilihan raya umum.
Kata Abdul Hadi ini kerana PH tidak mampu menegakkan keadilan yang menyeluruh kepada rakyat, walaupun dalam gabungannya terdapat parti yang menjadikan keadilan dan amanah pada jenamanya.
Malah, Abdul Hadi juga mendakwa ini kerana ramai dikalangan pimpinan PH 'tidak beriman dan tidak bermoral'.
Menurut Abdul Hadi, PH ketika menghadapi PRU14 pada 2018 juga memperlihatkan parti gabungan pembangkang itu secara terbuka mengumpulkan 'kumpulan pemberi rasuah dan penerima rasuah'.
Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena berkata seseorang pemimpin itu perlu membawa politik yang harmoni, murni dan damai dan bukan membina masyarakat dengan pendekatan politik permusuhan dan kebencian.
"Apa yang dinyatakan PAS itu dia membawa kepada ketakutan kepada masyarakat serta rakyat kepada PH dengan menanam bibit-bibit kebencian.
"Saya fikir ini tidak menguntungkan masa depan negara kita. Kita mesti membina Malaysia sebagai rumah kita bukan membina Malaysia ini dengan kemusnahhan dan perbalahan atas bibit-bibit perkauman dan keagamaan seumpama ini," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai