Skip to main
Logo Malaysiakini

'Aneh PAS terhegeh-hegeh nak kembali ke Umno' - Pemuda Amanah

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ketua Pemuda Amanah, Hasbie Muda berkata dia berasa hairan dengan sikap PAS yang ‘terhegeh-hegeh’ hendak kembali ke pangkuan Umno.

"Kita berasa aneh dan jijik dengan sikap PAS yang merengek-rengek untuk kembali ke pangkuan janda lama mereka, Umno.

"Walhal, rumah tangga dengan Bersatu masih belum terlerai. Suami ada lagi dekat rumah tapi dah pergi mengendeng di rumah janda lama,” kiasnya.

"Tak malu ke PAS untuk bermuafakat dengan parti yang dah jelas dibuktikan bersalah oleh mahkamah dipimpin oleh penyamun dan penyangak,” katanya ketika menyampaikan pidato Ketua Pemuda Amanah di konvensyen sayap parti itu di Seremban, hari ini.

Hasbie (gambar, atas) berkata Islam adalah agama yang cukup keras melawan rasuah, melawan penyelewengan, namun PAS yang kononnya mengangkat perjuangan Islam tanpa segan silu tidak mempedulikan apa yang berlaku dalam negara ketika ini.

"Adakah PAS benar-benar terhutang budi dengan Umno sebagaimana kes saman Sarawak Report yang mana presiden PAS telah membayar melalui wakilnya sebanyak RM1.4 juta," soal Hasbie ekoran kes mebabitkan bekas perdana menteri Najib Razak, baru-baru ini.

Dalam ucapan pidatonya, Hasbie juga berkata, dia kesal dengan sikap pemimpin Umno yang dilihat begitu berusaha untuk membersihkan imej Najib yang telah terbukti bersalah di mahkamah.

"Sabitan bersalah terhadap Datuk Seri Najib membuktikan bahawa apa yang didakwa oleh PH adalah realiti, fakta,” katanya.

“Umno ini parti lama dan ada jasanya, bila keluar atau terpenjaranya pemimpin yang korup ini, Asyraf Wajdi (ketua pemuda Umno) dan kawan-kawannya (patut) bersihkan parti.

"Tetapi apa yang berlaku, Umno terus berusaha membersihkan Najib dan pesalah rasuah. Mereka kekal dengan budaya lama, sepatutnya mereka mengecam perasuah tetapi menghina sistem kehakiman negara.

"Tindakan Umno memperolokkan sistem kehakiman kita membuktikan bahawa Umno dan rausah berpisah tiada," kata Hasbie lagi.

Najib baru saja menjalani hukuman penjara selama 12 tahun bermula 23 Ogos lalu.

Ini berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.