Skip to main
Logo Malaysiakini

Hadi sembunyi sikap lunak PAS terhadap rasuah - Khalid Samad

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pakatan Harapan (PH) kesal dengan dakwaan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang menggambarkan gabungan itu sebagai parti rasuah.

Pengarah komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata, Abdul Hadi membuat kenyataan sedemikian untuk menyembunyikan sikap sebenar PAS sendiri yang lunak terhadap pelaku rasuah.

"Tanpa memberikan hujah dan fakta, beliau berkata ’ramai dalam kalangan PH yang tidak beriman (beraqidah) dan bermoral (berakhlak) secara terbuka, mengumpulkan kumpulan pemberi rasuah dan penerima rasuah’,"

"Kami percaya Hadi membuat kenyataan ini bagi menyembunyikan sikap sebenar PAS yang lunak terhadap rasuah apabila PAS mempertahankan individu dan kumpulan pelaku rasuah yang telah dibuktikan bersalah di mahkamah," katanya dalam kenyataan.

Khalid berkata, sikap tidak bermoral PAS sebagai sebuah parti yang menggunakan nama Islam dengan mempertahankan pelaku rasuah telah memberikan gambaran yang salah tentang kesucian dan ketegasan Islam dalam menjaga harta negara serta kepentingan awam.

"Islam mengajar umatnya untuk membenci rasuah dan menolak pelaku rasuah.

"Seharusnya PAS mengambil sikap yang lebih tegas dalam menolak parti dan kepimpinan parti yang mengamalkan budaya rasuah seperti Umno.

"PAS juga seharusnya menolak amalan menerima tawaran jawatan sebagai habuan sokongan untuk kuasa sepertimana yang berlaku semasa pembentukan kerajaan Perikatan Nasional kerana ia juga satu bentuk rasuah dan tidak bermoral," katanya.

Menurut Khalid, sikap tegas PH terhadap rasuah dibuktikan dengan kejayaannya membawa pelaku rasuah dalam skandal 1MDB ke muka pengadilan, yang memberi mesej tegas bahawa harta negara dan khazanah awam mesti dipertahankan dengan penuh amanah.

"Pakatan Harapan juga telah menubuhkan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) sebagai sebuah agensi pengukuhan amalan urustadbir baik dan anti-rasuah.

"Dalam tempoh yang singkat GIACC telah berjaya melaksanakan beberapa inisiatif dalam melawan amalan rasuah dalam pentadbiran negara,” ujarnya.

Katanya lagi, rekod cemerlang kerajaan PH dalam melawan rasuah terbukti apabila Indek Persepsi Rasuah (IPR) pada tahun 2019 menunjukkan kenaikan skor IPR yang tertinggi sebanyak 53 poin dan meraih kedudukan pada tangga 51 daripada 180 negara.

"Manakala semasa PAS menjadi sebahagian dari kerajaan PN pada tahun 2020, Malaysia telah menerima skor yang lebih rendah sebanyak 51 poin dengan jatuh kedudukan pada tangga 57. Kini terus menjunam pada tahun 2021 setelah mendapat skor sebanyak 48 dan berada di kedudukan tangga 62 daripada 180 negara yang terlibat," kata Khalid.

Semalam, Abdul Hadi sekali lagi menegaskan bahawa parti Islam itu tidak akan membentuk sebarang kerjasama dengan PH pada pilihan raya umum akan datang, termasuk melalui pendekatan yang dipanggil "khemah besar".

Menurut ahli parlimen Marang itu, PH ketika menghadapi PRU14 pada 2018 memperlihatkan gabungan pembangkang itu secara terbuka mengumpulkan 'kumpulan pemberi rasuah dan penerima rasuah'.

Dia juga mendakwa PH menyebabkan hubungan masyarakat majmuk menjadi rapuh apabila PH lebih banyak menyentuh perkara negatif berkenaan dasar dan konsep negara jika dibandingkan dengan BN.