Skip to main
Logo Malaysiakini

Bendera Perak dikibar separuh tiang esok hingga Isnin

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan supaya bendera negeri dikibar separuh tiang sebagai menghormati kemangkatan Ratu Elizabeth II pada 9 Sept lepas.

Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Ahmad Suaidi Abdul Rahim dalam satu kenyataan memaklumkan, bendera Perak akan dikibarkan separuh tiang tiga hari bermula esok.

“Sultan Perak telah berkenan agar negeri ini mengibarkan bendera separuh tiang bermula esok hingga Isnin depan, bagi menzahirkan rasa dukacita baginda di atas kemangkatan Ratu Elizabeth II.

“Selain itu, atas hubungan baik Ratu Elizabeth II dengan istana dan kerajaan negeri, maka kibaran bendera separuh tiang akan dilaksanakan selama tiga hari sehingga sehingga selesai istiadat permakaman Ratu Elizabeth II pada hari Isnin,” menurut kenyataan itu hari ini.

Menurut laporan media, jasad Ratu Elizabeth II raja pemerintah paling lama menduduki takhta dalam sejarah British yang mangkat pada usia 96 tahun itu, kini berada di London dan ditempatkan Westminster Hall sehingga istiadat pemakaman negara diadakan.

Baginda ialah raja kedua paling lama menduduki takhta dalam sejarah Eropah selepas Raja Perancis Louis XIV.

Ratu Elizabeth II semasa pemerintahannya pernah melawat Malaysia sebanyak tiga kali iaitu pada 1972 bagi lawatan khas, 1989 sempena mesyuarat Ketua Negara Komanwel ke-11 dan 1998 sempena Sukan Komanwel ke-16.

-Bernama